'Jeritan, tangisan dua beradik berlarutan hampir setiap malam'

SUBANG JAYA – “Setiap hari saya dengar jeritan mereka, lebih-lebih lagi waktu malam, hati saya tak tenang, saya tak sanggup dengar lagi".
Itu luahan seorang individu yang enggan namanya dikenali mendedahkan penderitaan dua beradik perempuan yang dipercayai menjadi mangsa dera di sebuah rumah di Kampung Batu 12, Puchong.
Menurutnya, jeritan dan tangisan mangsa berusia 16 dan empat tahun itu berlarutan hampir setiap malam sejak beberapa minggu lalu menyebabkan beliau mengambil keputusan menghubungi Talian Kasih.
"Saya tak tahu apa berlaku dalam rumah tu, tapi bunyi tangisan dan jeritan anak-anak tu memang buat saya tak sampai hati nak biarkan.
"Lepas buat aduan, barulah pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) datang dan maklumkan kepada ketua kampung untuk tindakan lanjut," katanya pada Jumaat.
Difahamkan, wanita berusia 37 tahun yang juga ibu kepada dua beradik itu tinggal bersama teman lelakinya berusia 42 tahun di rumah berkenaan sejak beberapa bulan lalu.
Pasangan itu disyaki mendera serta mengabaikan kedua-dua anak, termasuk tidak diberi makan dan tinggal dalam keadaan rumah yang kotor.
Ketua Kampung Batu 12 Puchong, Muhammad Aidil Zailani berkata, beliau menerima maklumat daripada wakil JKM termasuk rakaman video pengakuan mangsa yang mendakwa didera oleh ibu dan teman lelaki ibunya.
"Sebaik terima maklumat, saya terus buat laporan polis dan hubungi pihak berkuasa agama kerana difahamkan pasangan itu belum berkahwin.
"Pihak berkuasa kemudian menyerbu rumah terbabit dan berjaya menyelamatkan kedua-dua mangsa yang dihantar ke hospital untuk pemeriksaan," katanya.
Aidil berkata, beliau bersyukur jiran bertindak pantas melaporkan kejadian dan berharap komuniti setempat cakna terhadap isu penderaan dan kebajikan kanak-kanak.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan wanita dan teman lelakinya itu ditahan selepas polis menerima laporan daripada JKM.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!