Bomba selamatkan dua beradik berpelukan di tingkat atas rumah terbakar

ALOR SETAR – Tindakan pantas pasukan bomba berjaya menyelamatkan nyawa dua beradik yang terperangkap di tingkat atas sebuah rumah dua tingkat di Taman Sri Kota di sini yang terbakar pada Ahad.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja, Wan Azizul Hakim Wan Jaafar berkata, panggilan kecemasan diterima pada jam 10.16 pagi dengan jentera pertama tiba di lokasi hanya lima minit kemudian.
Menurutnya, pegawai operasi melaporkan struktur rumah itu termasuk sebuah kereta Proton Wira mengalami kemusnahan 70 peratus manakala lapan buah motosikal pula hangus sepenuhnya.
"Dalam operasi menyelamat, anggota bomba berjaya mengeluarkan dua mangsa kanak-kanak yang terperangkap di tingkat atas rumah.
"Mereka ditemukan dalam keadaan selamat sebelum dibawa keluar menggunakan laluan khas yang telah disediakan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Jelas Wan Azizul, kebakaran berjaya dikawal pada jam 10.37 pagi dengan bantuan 36 anggota bomba, termasuk Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari beberapa kawasan berhampiran.
Menurutnya, operasi memadam kebakaran berjalan lancar dengan menggunakan satu aliran hos dan pancutan air dari tangki jentera bagi mengawal api daripada merebak ke kawasan sekitar.
"Kerja-kerja overhaul dijalankan bagi memastikan sisa kebakaran tidak menjadi punca nyalaan semula. Operasi akhirnya ditamatkan pada jam 12.16 tengah hari," ujarnya.
Semasa kejadian tersebut, tiga beradik berada di rumah dan abang sulung berusia tujuh tahun telah berlari keluar untuk meminta bantuan dan memaklumkan dua adiknya berusia empat dan tiga tahun berada di tingkat dalam keadaan berpelukan.
Sementara itu, ibu kepada mangsa dikenali Siti Naziana, berkata, ketika kejadian dia bersama dua anak berusia lima dan dua tahun dalam perjalanan ke klinik di Simpang Kuala.
Menurutnya, lebih kurang jam 10 pagi dia mendapat panggilan dari jiran memaklumkan tentang kejadian tersebut sebelum bergegas pulang ke rumah.
Lapan motosikal yang hangus pula adalah milik pelanggan suaminya yang bekerja sebagai mekanik di Jalan Sultan Abdul Halim, dekat sini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!