Wanita jual beg tangan tiruan dalam talian ditahan

RANTAU PANJANG - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menyerbu sebuah premis yang menjual pelbagai beg tiruan serta menahan seorang wanita di Kampung To’Deh di sini pada Khamis.
Operasi bersepadu yang dilakukan pada jam 10 pagi itu membawa kepada rampasan 114 unit beg tangan wanita dianggarkan bernilai RM2,280.
Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, premis tersebut dipercayai digunakan untuk penjualan barangan tiruan secara dalam talian melalui siaran langsung di platform media sosial TikTok.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagang 2019, iaitu memiliki dan mengawal barangan yang dipakaikan cap dagangan berdaftar secara salah bagi tujuan perdagangan.
"KPDN memberi amaran keras kepada mana-mana individu atau pihak yang masih berdegil memperdagangkan barangan tiruan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut beliau, tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi demi melindungi hak pemilik cap dagang dan pengguna.
Ujarnya, KPDN menggesa orang ramai supaya tidak terlibat dalam urusan jual beli barangan tiruan serta melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa bagi membanteras pelanggaran harta intelek di negara ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

