Zon Bebas Cukai Rantau Panjang bakal dipindahkan ke lokasi baharu

RANTAU PANJANG - Kerajaan negeri meluluskan pemindahan kawasan Zon Bebas Cukai Rantau Panjang sedia ada ke lokasi baharu berdekatan Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra.
Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, penetapan itu dibuat dengan kerjasama kerajaan negeri dan Persekutuan.

Bagaimanapun katanya, perkara itu masih dalam peringkat perbincangan dengan pemilik tanah yang terlibat berdekatan kawasan berkenaan.
“Perancangan memindahkan Zon Bebas Cukai Rantau Panjang ke lokasi lain dibuat tahun lalu dan keputusan memilih tanah berdekatan Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra atau lebih dikenali sebagai Masjid Beijing.
“Setakat ini, pertemuan akan diadakan dalam tempoh terdekat bersama pemilik tanah dan penduduk untuk perbincangan,” katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.

Siti Zailah menjelaskan, proses berkenaan dijangka mengambil masa berikutan perlu mengikuti prosedur operasi standand ditetapkan.
Beliau mengulas, langkah pemindahan bertujuan mewujudkan kawasan zon bebas cukai lebih sistematik dan penubuhan zon ekonomi baharu membabitkan daerah itu.
“Zon bebas cukai yang sedang beroperasi ketika ini berada di lokasi kediaman penduduk kampung.

“Kami mahu satu tempat selesa untuk pengunjung dan pelancong beli-belah di lokasi tidak bercampur dengan bangunan sekolah, rumah atau tanah perkuburan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

