Pelajar IKBN maut kemalangan bakal terima RM20,000 seorang

ALOR SETAR – Tiga penuntut Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jitra yang maut dalam kemalangan tragis di Lebuhraya Utara-Selatan pada petang Khamis akan menerima tuntutan insurans berjumlah RM20,000 setiap seorang.
Pengarah IKBN Jitra, Norhazita Kamaludin berkata, pihaknya turut mengambil langkah membantu dalam pengurusan jenazah dan penghantaran ke kampung halaman masing-masing.
“Kami akan memastikan segala urusan berjalan lancar bagi membantu keluarga mangsa menghadapi saat sukar ini.
“Selain itu, sumbangan juga diberikan oleh Pengurusan Tertinggi Kementerian Belia dan Sukan serta 21 Institut Latihan di bawah kementerian,” katanya pada Jumaat.
Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya bersama pegawai kanan IKBN Jitra, termasuk Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar, Rauzoh Darus, serta tenaga pengajar dan pelajar lain hadir di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah untuk memberi sokongan kepada keluarga mangsa.
“Pengurusan tertinggi IKBN Jitra serta pelajar lain turut mengiringi van jenazah sehingga ke kampung halaman bagi memastikan mereka mendapat penghormatan terakhir daripada rakan-rakan dan tenaga pengajar,” ujarnya.
Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan bahawa dalam kejadian menyayat hati tersebut, tiga penuntut IKBN Jitra yang menaiki dua buah motosikal maut di tempat kejadian selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).
Mangsa dikenal pasti sebagai Muhamad Habil Mohd Sobri dari Gurun, Muhammad Fahmi Mohd Jamel dari Jeniang, Sik, dan Muhamad Arif Aifan Derani dari Bukit Selambau, Sungai Petani.
Kesemua mangsa berusia 19 tahun dan dalam perjalanan pulang untuk bercuti sempena sambutan Hari Raya Aidiladha yang jatuh pada Sabtu.
Seorang lagi rakan mereka, Muhammad Adib Aiman Mohamad Hasan, yang membonceng salah sebuah motosikal, mengalami kecederaan parah di kaki dan kini sedang menerima rawatan di Zon Kuning, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

