Tragedi menjelang Aidiladha: Tiga penuntut IKBN Jitra maut kemalangan

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Hari yang sepatutnya menjadi detik kegembiraan menjelang Aidiladha bertukar menjadi tragedi apabila tiga penuntut Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jitra maut dalam kemalangan di Kilometer 49.4 Lebuhraya Utara-Selatan dari Alor Setar menghala ke selatan pada petang Khamis.
Dalam kejadian jam 2.10 petang itu, kesemua mangsa menaiki dua motosikal dalam perjalanan pulang ke kampung masing-masing bagi menyambut Hari Raya Aidiladha.
Semua mangsa yang berusia 19 tahun dipercayai bertembung dengan sebuah kereta jenis Naza Citra sebelum berlaku kemalangan yang meragut nyawa.
Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Muhamad Habil Mohd Sobri dari Gurun; Muhammad Fahmi Jam dari Jeniang, Sik; dan Muhamad Arif Aifan Derani dari Bukit Selambau, Sungai Petani.
Seorang lagi rakan mereka mengalami kecederaan parah akibat perlanggaran tersebut.
Sementara itu, jenazah ketiga-tiga mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini untuk tindakan lanjut.
Pemandu kereta berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan berhubung kemalangan maut tersebut.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Noor Salawati Saad berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal Yamaha 135LC hilang kawalan dan merempuh bahagian belakang kereta yang ketika itu berhenti di lorong kecemasan.
Menurutnya, pada masa sama, sebuah motosikal Yamaha Y16ZR dari arah belakang gagal mengelak lalu melanggar motosikal di hadapannya menyebabkan perlanggaran serius.
“Akibat insiden tersebut, dua penunggang dan seorang pembonceng maut di tempat kejadian.
“Seorang lagi pembonceng cedera parah dan kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB),” katanya dalam satu kenyataan pada petang Khamis.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

