'Kami tunggu Habil, tapi jenazahnya yang pulang' - Bapa

Gambar kenangan Nik Mohd Amirul Adli (kanan) bersama tiga rakannya yang maut iaitu Allahyarham Muhammad Arif Aifan, Muhammad Fahmi dan Muhammad Habil. (Kanan: Mohd Sobri)
Gambar kenangan Nik Mohd Amirul Adli (kanan) bersama tiga rakannya yang maut iaitu Allahyarham Muhammad Arif Aifan, Muhammad Fahmi dan Muhammad Habil. (Kanan: Mohd Sobri)
A
A
A

ALOR SETAR - Kegembiraan menyambut Aidiladha pada Sabtu ini bertukar pilu buat keluarga Muhamad Habil Mohd Sobri, salah seorang penuntut Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jitra yang maut dalam kemalangan di Kilometer 49.4 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, petang Khamis.

Bapanya, Mohd Sobri Khamis, 47, tidak menyangka kepulangan anak sulung daripada empat beradik itu kali ini bukan untuk meraikan perayaan bersama keluarga, tetapi sebagai jenazah.

“Kami tunggu dia pulang hari ini kerana sepatutnya malam ini kami balik kampung di Bagan Serai, Perak, untuk sambut Aidiladha. Tetapi tak sangka kami hanya menuntut jenazahnya pulang,” katanya dalam nada sebak.

Beliau berkata demikian semasa ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini.

Menurut Mohd Sobri, anaknya yang berusia 19 tahun sering pulang ke rumah setiap minggu dan sangat rapat dengan ibunya, Sarah Abdul Rashid, 42.

“Arwah selalu telefon ibunya hampir setiap hari dan kali terakhir pada dua hari lalu, dia memaklumkan akan pulang hari ini.

“Dia masih ada setahun setengah lagi untuk tamatkan pengajian di IKBN Jitra. Dialah harapan keluarga,” ujarnya.

Mohd Sobri turut memaklumkan bahawa rancangan untuk pulang ke kampung pada malam Khamis dibatalkan dan mereka kini menguruskan pengebumian arwah di Kampung Paya Mengkuang selepas selesai proses bedah siasat di HSB.

Sementara itu, seorang rakan kepada tiga mangsa, Nik Mohd Amirul Adli Zulkifli, 19, berkata, mereka masih tergamam dengan berita tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Kali terakhir kami berjumpa di dewan makan tengah hari tadi. Kami semua bersalaman kerana mahu pulang bercuti. Tiba-tiba jam 2.30 petang tadi, dapat berita mereka bertiga sudah tiada,” jelasnya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan tiga penuntut IKBN Jitra maut dalam kemalangan di Kilometer 49.4 dari Alor Setar menghala ke selatan.

Dalam kejadian jam 2.10 petang itu, kesemua mangsa menaiki dua motosikal dalam perjalanan pulang ke kampung masing-masing bagi menyambut Hari Raya Aidiladha.

Semua mangsa berusia 19 tahun dipercayai bertembung dengan sebuah kereta jenis Naza Citra sebelum berlaku kemalangan yang meragut nyawa.

Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Muhamad Habil Mohd Sobri dari Gurun; Muhammad Fahmi Jam dari Jeniang, Sik; dan Muhamad Arif Aifan Derani dari Bukit Selambau, Sungai Petani.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!