Malaysia sedia terajui pembangunan Bandar AI di ASEAN

Gobind Singh (dua dari kiri) melancarkan ’100 hari menuju Smart City Expo Kuala Lumpur 2025 (SCEKL25) pada Rabu. Foto SINAR HARIAN - MOHD HALIM ABDUL WAHID
Gobind Singh (dua dari kiri) melancarkan ’100 hari menuju Smart City Expo Kuala Lumpur 2025 (SCEKL25) pada Rabu. Foto SINAR HARIAN - MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia bersedia menerajui pembangunan Bandar Kecerdasan Buatan (AI) di ASEAN menerusi penganjuran Smart City Expo Kuala Lumpur 2025 (SCEKL25) yang akan diadakan pada 17 hingga 19 September 2025.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, acara itu bakal menjadi lonjakan besar yang bakal meletakkan negara sebagai hab utama bagi inovasi bandar pintar, transformasi digital dan pembangunan bandar mampan.

“SCEKL25 melambangkan langkah berani Malaysia untuk menjadi hab digital utama serantau yang mana ia membuka ruang untuk perbincangan mengenai masa depan inovasi bandar.

“Ini menjadi platform penting untuk perbincangan transformatif mengenai peranan teknologi seperti AI dalam membentuk bandar pintar yang inklusif, lestari dan pintar di seluruh ASEAN,” katanya ketika pelancaran rasmi kira detik 100 hari menuju SCEKL di sini pada Rabu.

Malaysia akan menjadi tuan rumah pertama untuk edisi Asia Tenggara melalui SCEKL25 bagi Smart City Expo World Congress Barcelona yang terkenal di dunia.

Gobind Singh (tengah) bersama barisan jenama yang memberi sokongan global terhadap penganjuran Smart City Expo Kuala Lumpur 2025 (SCEKL25) di sini, pada Rabu. Foto SINAR HARIAN - MOHD HALIM ABDUL WAHID
Gobind Singh (tengah) bersama barisan jenama yang memberi sokongan global terhadap penganjuran Smart City Expo Kuala Lumpur 2025 (SCEKL25) di sini, pada Rabu. Foto SINAR HARIAN - MOHD HALIM ABDUL WAHID

Ekspo yang dianjurkan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bersama Digital Nasional Berhad (DNB) bagi Kementerian Digital itu mengangkat tema Bandar AI: Membentuk Masa Depan Digital Kita.

Mengulas lanjut, Gobind berkata, acara tersebut akan menghimpunkan pemimpin global, pelabur, inovator teknologi dan penggubal dasar untuk meneroka potensi AI serta teknologi baharu bagi mengubah landskap kehidupan bandar.

Menurutnya, ia turut memperkukuh hasrat negara untuk mencapai status Smart Nation menjelang 2040 seperti digariskan dalam Rancangan Fizikal Negara Keempat (RFN4).

Artikel Berkaitan:

“Empat tonggak utama yang menjadi asas kepada SCEKL25 iaitu bandar AI, bandar lestari dan tahan uji, keusahawanan digital dan pembangunan ekonomi serta pemberdayaan komuniti melalui penyelesaian digital.

“Inisiatif ini mencerminkan komitmen negara untuk menerajui rantau ini dalam membina bandar yang pintar, inklusif, tahan lasak dan mampan yang dikuasakan oleh AI di mana teknologi memperkasa rakyat dan mendorong gelombang baharu transformasi bandar,” ujarnya.

Tambah Gobind, sebagai Pengerusi ASEAN, acara itu dijangka memainkan peranan penting dalam menyokong Pelan Induk ASEAN mengenai Ketersambungan 2025, di samping merapatkan hubungan bersama institusi dan rakyat di seluruh rantau ini.

Beliau berkata, ia akan berfungsi sebagai platform untuk kerjasama dasar-ke-projek, pembabitan pelabur, pameran teknologi dan penyelesaian bandar dunia sebenar daripada mobiliti pintar kepada sistem unjuran tenaga.

"Kami berbangga mendapat sokongan jenama global seperti Dell, Intel, Ericsson dan Huawei, serta persatuan utama termasuk Malaysia Smart Cities Alliance (MSCA), Smart Cities Network, The Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT) dan Malaysia PropTech Association.

"Lebih daripada sekadar acara, SCEKL25 direka untuk menyampaikan hasil sebenar iaitu daripada perkongsian awam dan swasta yang lebih kukuh serta pelaburan serantau," katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!