'Memudahkan jangan menyusahkan' - Datuk Bandar Kuala Lumpur

MAIMUNAH
MAIMUNAH
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif mengingatkan warga Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) agar menerapkan amalan integriti dan tadbir urus yang baik dalam setiap aspek kerja.

Maimunah berkata, semua pegawai dan kakitangan DBKL harus memastikan setiap tindakan yang diambil adalah telus dan berlandaskan peraturan ditetapkan.

"DBKL akan terus mengamalkan prinsip Urus Tadbir Cekap, Akauntabiliti, Telus, Berkesan dan Cekap atau CATEE.

"Prinsip ini bukan sahaja membantu meningkatkan kecekapan dalam organisasi, malah memastikan setiap proses kerja dilakukan secara sistematik dan bertanggungjawab," katanya menerusi Facebook DBKL pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat dalam Perhimpunan Bulanan bagi Februari 2025 di Auditorium DBKL pada Khamis.

Dalam ucapannya, Maimunah turut menekankan aspek pengurusan Bajet 2025, sekali gus mengingatkan agar setiap perbelanjaan dilakukan dengan penuh tanggungjawab dan mengikut prinsip perbelanjaan berhemah.

Warga kerja DBKL yang hadir mendengar amanat disampaikan Maimunah ketika Perhimpunan Bulanan bagi Februari 2025 di Auditorium DBKL pada Khamis.
Warga kerja DBKL yang hadir mendengar amanat disampaikan Maimunah ketika Perhimpunan Bulanan bagi Februari 2025 di Auditorium DBKL pada Khamis.

Selain itu, beliau turut mengingatkan warga kerja pihak berkuasa tempatan itu agar mengamalkan prinsip 'memudahkan jangan menyusahkan' ( facilitate not frustrate) dalam setiap urusan DBKL.

Artikel Berkaitan:

"Ini bermakna, setiap tindakan yang diambil bertujuan untuk membantu dan memudahkan urusan warga kota tanpa mengabaikan undang-undang yang telah ditetapkan.

"Walaupun tindakan tegas tetap perlu diambil terhadap pelanggaran peraturan, ia harus dilakukan secara adil, profesional dan berhemah," ujar kenyataan itu.

Dalam pada itu, Maimunah meminta DBKL memperhebatkan langkah menangani isu sampah, gelandangan, penjaja asing, serta gerai haram untuk kesejahteraan warga kota selain persiapan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Beliau turut menyeru semua pegawai dan kakitangan DBKL sentiasa memberikan perhatian segera terhadap setiap aduan yang diterima dan mengambil tindakan dengan cekap serta penuh tanggungjawab.

"Setiap pegawai perlu bersikap proaktif, inovatif, serta sentiasa berusaha menambah baik perkhidmatan tanpa menunggu arahan.

"Kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan perlu terus dipertingkatkan bagi mengelakkan kerenah birokrasi yang menyulitkan rakyat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!