[VIDEO] Kerajaan bantu 8 sekeluarga tinggal di pondok miliki kediaman lebih selesa
HULU TERENGGANU - Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan membantu lapan sekeluarga yang tinggal di pondok usang di Kampung Paya Besar di sini memiliki kediaman lebih selesa.
Pengarah KKDW Terengganu, Md Razi Md Lazim berkata, beberapa perkara sedang diteliti dan pihaknya sedang berusaha menyelesaikan masalah itu secepat mungkin.
"Kita sedar keluarga ini hidup dalam keadaan berpindah randah kerana tidak mampu memiliki kediaman sendiri.
"Kita akan lihat semula keperluan mereka bagi memastikan mereka dapat memiliki rumah termasuk bekalan air dan elektrik.
"Buat sementara waktu, kita akan selesaikan dahulu tempat tinggal sedia ada dan sebelum Hari Raya Aidiladha nanti tempat tinggal (sementara) mereka ini akan ditambah baik untuk keselesaan keluarga ini," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Paya Besar, di sini pada Rabu.
Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang, Jalaludin Ismail berkata, masalah dialami keluarga itu sudah berlarutan sejak empat tahun lalu namun tidak dikesan kerana sering berpindah randah dan tinggal di tempat terpencil.

"Kita akan cuba mencari jalan penyelesaian secara berperingkat bagi menyelesaikan masalah ini dalam tempoh jangka masa pendek dan panjang.
"Kita juga mendapat kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang turut tampil menghulurkan bantuan," ujarnya.
Sebelum ini, kesempitan hidup Mat Nasir Ismail, 48, mendapat perhatian apabila mendakwa terpaksa berpindah rumah sebanyak 20 kali sebelum membawa isteri serta enam anaknya termasuk seorang menantu tinggal di pondok kecil di kawasan hutan itu sejak awal tahun ini.
Mat Nasir yang menghidap penyakit asma kronik berkata, dia tidak mampu menyediakan tempat tinggal lebih selesa buat isterinya, Mazilah Mansor, 47, dan lima anak termasuk dua anak orang kurang upaya (OKU) berusia antara 11 hingga 22 tahun.
Dua daripada anaknya, Muhammad Ramadan, 13, dan Muhammad Asyraf Muharam, 11, kini bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Berang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Ampuan Intan.
Difahamkan, keluarga itu menerima bantuan bulanan sebanyak RM1,800 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk seorang anak OKU, serta RM700 sebulan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) bagi keperluan persekolahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
