[VIDEO] Kerajaan cadang laksana skim lindungi pekerja luar waktu kerja
KUALA LUMPUR - Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) bercadang melaksanakan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) yang akan ditadbir oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, ia bagi memastikan liputan perlindungan 24 jam sehari dalam tempoh tujuh hari seminggu kepada pekerja yang layak semasa tempoh penggajian.
Menurutnya, SKBBK akan meliputi kemalangan yang tidak terbit daripada dan dalam masa menjalankan pekerjaan serta tidak berkait secara langsung dengan penggajiannya.
“Skim yang dicadangkan akan meliputi kemalangan yang berlaku dalam Malaysia di luar waktu kerja termasuk kemalangan dalam perjalanan yang tidak berkaitan dengan pekerjaan.
“Kesuma cakna dengan perubahan lanskap peralihan waktu kerja pada masa kini susulan peningkatan aturan kerja anjal atau aturan kerja fleksibel (FWA) oleh majikan di Malaysia kesan daripada perkembangan digitalisasi,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang bertanyakan tentang mekanisme pelaksanaan SKBBK untuk melindungi individu terjejas dengan kemalangan di luar pekerjaan.
Tambah Abdul Rahman, pelaksanaan SKBBK oleh Perkeso ini merupakan satu mekanisme perlindungan sosial dalam menangani cabaran risiko berkaitan kerja dan risiko di luar waktu kerja terutama bagi pekerja yang terlibat dengan FWA.
“Ini kerana risiko kemalangan yang tidak berlaku di pejabat serta waktu kerja seperti kelaziman. Secara prinsipnya, Mesyuarat Kabinet telah bersetuju agar Kesuma melaksanakan SKBBK.
“Kementerian melalui Perkeso juga telah mengadakan sesi libat urus dengan para pemegang taruh bagi mendapatkan maklum balas berkenaan cadangan pelaksanaan SKBBK.
“Ia melibatkan wakil dari pihak Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME), Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Persekutuan PengilangPengilang Malaysia (FMM), Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) di Lembah Klang, Sabah dan Sarawak,” ujar beliau.
Jelasnya, Kesuma menjangkakan Rang Undang-Undang bagi skim ini akan dapat dibentangkan di Mesyuarat Parlimen pada tahun ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

