Wanita Indonesia sembunyi bawah katil elak dicekup

Wanita Indonesia yang bersembunyi di bawah katil bagi mengelak dicekup pihak berkuasa.
Wanita Indonesia yang bersembunyi di bawah katil bagi mengelak dicekup pihak berkuasa.
A
A
A

KEMAMAN - Tindakan seorang wanita warga Indonesia yang bersembunyi di bawah katil bagi mengelak dirinya daripada dicekup pihak berkuasa gagal apabila berjaya dikesan dalam Ops Sapu oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Terengganu di Bandar Baru Kijal, di sini pada Isnin.

Pengarah Imigresen Terengganu, Mohd Yusri Mohd Nor berkata, pada mulanya, seorang lelaki warga Myanmar mendakwa tinggal bersendirian, namun helah itu terbongkar apabila pegawai penguat kuasa menemui pakaian wanita di dalam bilik semasa pemeriksaan dijalankan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut menemui wanita berusia lingkungan 30-an itu sedang menyorok di bawah katil bagi menyelamatkan diri daripada ditahan.

"Pemeriksaan terhadap wanita itu mendapati dia telah tinggal lebih masa di negara ini dan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Antara pemeriksaan dijalankan pihak Imigresen dalam Ops Sapu melibatkan daerah Kemaman dan Kuala Terengganu.
Antara pemeriksaan dijalankan pihak Imigresen dalam Ops Sapu melibatkan daerah Kemaman dan Kuala Terengganu.

Wanita berkenaan antara 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dalam operasi dijalankan di sekitar daerah Kemaman dan Kuala Terengganu pada Isnin lalu.

Operasi bermula jam 8 malam hingga 6 pagi itu membabitkan pemeriksaan ke atas 44 individu di tujuh buah premis kediaman.

"Antara lokasi serbuan ialah rumah di Chabang Tiga, Kuala Terengganu; rumah kongsi di Kampung Lubuk Batu dan Bandar Baru Kijal; Kampung Darat Kolam; serta rumah kongsi pekerja di Jalan Kemaman, Kertih.

"Dalam operasi itu, seramai empat warga Bangladesh, lima warga Indonesia dan dua warga Thailand berusia antara lima hingga 49 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, katanya, seorang wanita warga Thailand bersama anak perempuannya turut ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah ketika pemeriksaan dijalankan di Chabang Tiga, Kuala Terengganu.

"Wanita itu mendukung anaknya sambil merayu agar tidak ditangkap, namun tindakan tetap diambil mengikut lunas undang-undang,” katanya.

Jelas beliau, semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) kerana tidak memiliki dokumen sah dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa.

"Kesemua mereka dibawa ke Depot Imigresen Ajil untuk tindakan lanjut manakala seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun turut dipanggil memberi keterangan dan disiasat di bawah akta sama.

"Orang ramai diminta agar terus menyalurkan maklumat demi keselamatan serta kedaulatan negara," ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!