18 warga Indonesia ditahan ketika cubaan seludup keluar

KAJANG – Seramai 18 individu, termasuk tujuh wanita warga Indonesia, ditahan dalam Op Taring Delta di Batu 11, Cheras, di sini pada Rabu.
Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari, berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis dari Batalion 4 PGA telah mengadakan serbuan pada jam 2.50 petang.
"Seramai 21 orang ditahan terdiri daripada tiga lelaki warga tempatan, 11 lelaki dan tujuh wanita warga Indonesia," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Hakemal berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati 18 individu gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.
“Siasatan awal mendapati tiga lelaki warga tempatan berusia 26 hingga 37 tahun dipercayai berperanan sebagai 'transporter' yang membawa keluar pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui jalan tidak diwartakan,” katanya.

Menurutnya, polis turut merampas dua buah kereta dan lima telefon bimbit yang dianggarkan bernilai RM82,950.
“Kesemua individu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang bagi membantu siasatan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
“Kes turut disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/1963 serta Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
