Pengemis digital licik bermain emosi

DALAM era moden kini, media sosial bukan sekadar menjadi medium untuk berkongsi maklumat dan hiburan, namun turut digunakan sebagai salah satu platform bagi menggerakkan kempen bantuan kemanusiaan.
Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, muncul satu fenomena yang agak membimbangkan iaitu meminta sedekah secara terbuka atau terang-terangan di media sosial.
Antara yang sering diiklankan termasuk meminta derma bagi membiayai kos rawatan kanak-kanak yang sakit tenat atau mengalami kecacatan serius serta memohon bantuan kewangan bagi memenuhi keperluan harian.
Dalam hal ini, semakin banyak kes penipuan telah dikenal pasti dilakukan oleh pihak scammer yang mengeksploitasi simpati orang ramai demi mengaut keuntungan mudah.
Modus operandi scammer berkenaan kebiasaannya melibatkan gambar anak kecil yang kelihatan uzur dengan kapsyen menyayat hati serta nombor akaun bank untuk memohon sumbangan.
Ada antara mereka mencuri gambar daripada kes sebenar yang tular dan menokok tambah cerita dengan mendakwa mereka merupakan ibu bapa kepada kanak-kanak tersebut.
Terbaharu, tular di media sosial memaparkan tindakan individu dipercayai scammer yang memohon ihsan orang ramai agar mendermakan wang dengan alasan untuk membeli susu, lampin pakai buang bayi dan barang keperluan lain.
Individu itu juga mendakwa hilang tempat bergantung dan tiada sumber pendapatan selepas suaminya tidak dapat dikesan menyebabkan dia bersama anak-anak yang masih kecil terpaksa berlapar selama beberapa hari.
Bagaimanapun, perbuatan licik itu terbongkar selepas netizen mendedahkan bahawa gambar dimuat naik sebenarnya milik individu lain.
Perbuatan tersebut merupakan satu bentuk eksploitasi emosi dan kepercayaan kerana manusia secara fitrah mudah tersentuh apabila melihat penderitaan kanak-kanak, apatah lagi jika melibatkan penyakit kritikal seperti kanser, jantung berlubang atau masalah saraf yang memerlukan rawatan segera.
Scammer yang memanipulasi rasa empati berbuat demikian untuk mendapatkan wang dengan cepat tanpa perlu bekerja keras kerana mengetahui masyarakat akan lebih mudah menghulurkan bantuan kepada kanak-kanak berbanding orang dewasa.
Tindakan tidak bertanggungjawab ini akhirnya meninggalkan impak besar kepada masyarakat kerana mereka menjadi ragu-ragu untuk menyumbang dan secara tidak langsung menyukarkan usaha badan bukan kerajaan (NGO) dan individu lain yang benar-benar memerlukan bantuan.
Penguatkuasaan undang-undang terhadap penipuan seumpama itu pula semakin mencabar kerana pelaku bijak menyembunyikan identiti dan menggunakan akaun palsu. Apatah lagi, dalam kebanyakan kes, mangsa yang tertipu tidak membuat laporan polis mungkin disebabkan jumlah kerugian yang kecil dan tidak berbaloi untuk menuntut ganti rugi.
Bagi menangani isu ini, pendidikan literasi digital dalam kalangan masyarakat amat penting untuk ditekankan selain berhati-hati terhadap akaun yang baharu diwujudkan dan terlalu mendesak untuk menerima derma segera.
Fenomena scammer meminta sedekah atas nama kanak-kanak yang sakit bukan sekadar jenayah kewangan, tetapi juga satu bentuk penghinaan terhadap nilai kemanusiaan kerana memperalatkan penderitaan yang sepatutnya menyatukan masyarakat.
Kecanggihan teknologi yang sepatutnya dimanfaatkan untuk pembangunan diri dan masyarakat telah disalahgunakan oleh segelintir individu sebagai medium untuk meraih simpati secara terbuka dan berterusan.
Masyarakat dinasihatkan agar lebih bijak, berwaspada dan kritikal dalam menghulurkan bantuan agar simpati kita tidak dimanipulasi seterusnya menjadi senjata oleh mereka yang tamak dan tidak bertanggungjawab.
Akhir kata, jangan biarkan kemajuan teknologi yang kita nikmati ketika ini dimanipulasi untuk kepentingan peribadi yang bertentangan dengan nilai moral dan agama.
*Siti Aisyah Mohamad ialah wartawan Selangor/ Kuala Lumpur
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
