Gajet, media sosial umpama gergaji dua mata - ADUN Kota Lama

KOTA BHARU - Usaha Kementerian Komunikasi memantau ibu bapa dalam mengawal penggunaan gajet dan media sosial adalah tepat bagi mengelakkan anak-anak mereka mengalami ketagihan terhadap kemudahan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim berkata, ibu bapa sepatutnya sudah lama menyedari bahawa ada tahap tertentu anak-anak tidak boleh langsung didedahkan dengan gajet.
Menurutnya, kesungguhan kerajaan itu dapat menyedarkan ibu bapa daripada membenarkan penggunaan gajet tanpa kawalan sehingga dibawa ke sekolah.
"Gajet merupakan kemudahan yang amat berguna tetapi ia umpama gergaji dua mata, bermanfaat tetapi banyak keburukan yang perlu diatasi dalam usia tertentu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Jom Ke Sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Indera Petra pada Sabtu.
Menurut Dr Hafidzah, Kementerian Komunikasi sebelum ini turut memaklumkan agar ibu bapa mengawal penggunaan media sosial secara berleluasa dalam kalangan anak-anak mereka.
"Menteri Komunikasi (Fahmi Fadzil) juga memaklumkan akan memantau dan mengambil langkah tambahan jika terdapat platform media sosial yang gagal melaksanakan larangan had umur penggunaan melalui platform terbabit," katanya.
Media sebelum ini melaporkan kebanyakan platform media sosial kini menetapkan had umur penggunaan pada usia 13 tahun.
Kerajaan akan mempertimbangkan langkah-langkah tambahan jika didapati pihak berkaitan gagal menguatkuasakan had larangan umur itu atau ada kejanggalan yang dikesan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
