Malaysia terajui UN-Habitat

Kor Ming. Foto: Bernama
Kor Ming. Foto: Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia secara rasmi dilantik sebagai Presiden Perhimpunan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN Habitat) bagi penggal 2025 hingga 2029.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan, pelantikan tersebut dipersetujui sebulat suara oleh 193 negara ahli Perhimpunan UN Habitat di Nairobi, Kenya.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang mengetuai delegasi Malaysia, Nga Kor Ming berkata, pengumuman tersebut dibuat ketika sesi Pemilihan Pegawai Biro.

“Sepanjang penggal ini, Malaysia akan memegang jawatan Presiden dan kerusi dalam Lembaga Eksekutif bersama rakan kami dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang mewakili rantau Asia Pasifik.

“Komitmen bersama ini melambangkan solidariti serantau dan dedikasi terhadap kelestarian bandar.

“Bersama-sama, Malaysia akan memastikan perhimpunan ini merapatkan jurang antara aspirasi global dan realiti tempatan,” katanya.

Untuk rekod, Malaysia mengambil alih jawatan tersebut dari Mexico yang mewakili rantau Amerika Latin dan Caribbean bagi penggal terdahulu.

Dalam pada itu, Kor Ming memaklumkan, pelantikan tersebut memperkukuhkan multilateralisme dan Agenda UN Habitat serta menyeru semua negara ahli menggandakan usaha melaksanakan Agenda Bandar Baharu.

“Pelantikan ini merupakan satu pengiktirafan besar terhadap Malaysia apabila diberi kepercayaan oleh sebuah badan sejagat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dianggotai 193 negara.

Artikel Berkaitan:

“Inilah satu pencapaian bersejarah buat Malaysia. Ia bukan sahaja membuktikan negara kita kembali ke pentas antarabangsa di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, malah menyerlahkan pengaruh negara yang semakin berkembang di peringkat global.

“Dengan perkembangan ini, sokongan rakyat amatlah penting. Ia adalah kejayaan bersama untuk seluruh rakyat Malaysia selaras dengan komitmen dan pencapaian negara dalam pembangunan bandar lestari di mana 53 peratus daripada 156 pihak berkuasa tempatan kini menerajui Kajian Tempatan Secara Sukarela (VLR), meletakkan kita di landasan untuk liputan sepenuhnya menjelang 2030,” ujarnya.

Menurut beliau, sebagai Presiden bersama UAE, mereka bersedia memimpin dengan integriti, keterangkuman dan dedikasi penuh terhadap prinsip PBB.

Sementara itu, Pengarah Jeneral Program Perumahan Sheikh Zayed dari UAE, Mohammed Ibrahim Al Mansoori berkata, ia merupakan satu penghormatan besar buat UAE dipilih sebagai presiden dan turut berkhidmat dalam Lembaga Eksekutif UN-Habitat bersama Malaysia.

“Kerjasama ini ditandai dengan penyelarasan strategik dan matlamat bersama untuk masa depan lebih baik,” katanya.

Sebelum ini, Perhimpunan UN-Habitat yang berpusat di Nairobi ditubuhkan pada 1975 dan kemudian dinaik taraf menjadi program penuh Perhimpunan Agung PBB pada 2001.

Badan itu merupakan entiti tertinggi dunia dalam membuat keputusan berkaitan urbanisasi lestari dan penempatan manusia.

Perhimpunan tersebut bersidang setiap empat tahun bagi membentuk dasar global berkaitan bandar dan komuniti.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!