Kak Tutu cipta rekod wanita pertama tamatkan larian 444km

IPOH – Berjaya menamatkan larian sejauh 444 kilometer (km) merupakan hadiah tidak ternilai buat Noor Ainun Yeop Kamaruddin atau dikenali sebagai Kak Tutu sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-44.
Menurut pegawai bank itu, larian coast to coast edisi keenam dari Lumut ke Bachok, Kelantan merupakan satu cabaran luar biasa yang pernah disertainya.
“Larian ultra maraton ini dijadualkan berlangsung dari 18 hingga 24 Mei lalu, serentak dengan tarikh hari lahir saya pada 26 Mei.
“Penyertaan kali ini lebih kepada menguji diri sendiri, baik dari segi fizikal mahupun mental,” katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Noor Ainun berkata, cabaran itu turut menggalas nama negara apabila bersaing dengan tiga peserta lain dari Jerman dan Thailand, sebelum muncul sebagai satu-satunya peserta wanita yang berjaya menamatkan larian dengan catatan masa selama 114 jam 18 minit.
“Keadaan cuaca dan bentuk muka bumi merupakan antara rintangan utama yang perlu dilalui, terutama laluan mendaki dari arah Simpang Pulai ke Cameron Highlands. Pendakian tanpa henti sejauh 60km itu membuatkan saya hampir putus asa.
“Selain mengalami terseliuh, saya terpaksa tidur di mana-mana sahaja termasuk di tepi jalan dan hentian bas untuk merehatkan diri. Saya bersyukur kerana mempunyai pasukan yang berdedikasi menjaga saya sepanjang perjalanan,” ujarnya.
Ibu kepada tiga anak itu berkata, keletihan dalam meneruskan larian dapat diatasi dengan sokongan moral daripada pengguna jalan raya yang memberi sorakan semangat.
Dengan pencapaian tersebut, kini Noor Ainun sedang menunggu pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) dengan sokongan daripada pihak penganjur dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
“Dalam pertemuan bersama Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim, kami menerima sokongan beliau terhadap rekod ‘1st to Complete Nozomi Coast to Coast (Wanita)’ sejak acara itu dilancarkan pada 2017.
“Kami turut mengharapkan sokongan kementerian bagi merealisasikan impian menyertai larian di peringkat antarabangsa, khususnya di Jerman dan negara-negara Eropah lain,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Noor Ainun memaklumkan bahawa pengalaman dan kisah hidupnya turut digarapkan dalam sebuah naskhah bertajuk Bangkit Berlari.
“Buku ini menyentuh mengenai nilai positif untuk terus melangkah ke hadapan dan membina kekuatan diri, bermula daripada seorang wanita obes kepada diri saya yang sekarang.
“Turut diselitkan ialah pelbagai tip dan pengalaman sepanjang menyertai perlumbaan larian ini, terutama The Golden Panoramic (200 km),” katanya yang turut menyertai Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
