Alaf 21 kini dikenali sebagai Novel Karangkraf

KUALA LUMPUR – Kumpulan Karangkraf melaksanakan penjenamaan semula syarikat penerbitan novelnya, Alaf 21 kepada nama baharu iaitu Novel Karangkraf.
Perkara itu diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Grup Buku Karangkraf, Firdaus Hussamuddin dalam Program stayKsyen di Pentas Dunia Buku, World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur, pada Sabtu.
Menurut Firdaus, langkah tersebut bertujuan memberi nafas baharu kepada jenama berkenaan.
“Sekarang kita kena beri satu logo yang lebih segar atau sesuatu yang mudah diingati.
“Dulu kita ada Alaf 21, sekarang kita tukar kepada Novel Karangkraf sebab semua orang kenal nama itu,” katanya.
Beliau berkata, penjenamaan semula itu bukan sahaja melibatkan nama, malah turut merangkumi perubahan dari segi kandungan dan reka bentuk kulit novel agar lebih segar dan menarik.
Jelasnya, meskipun tampil dengan wajah baharu, Novel Karangkraf tetap mengekalkan genre yang sinonim dengan Alaf 21 seperti cinta, persahabatan dan kekeluargaan.
“Walaupun kita jenamakan semula daripada Alaf 21 kepada Novel Karangkraf, isi kandungannya masih membawa tema cinta, persahabatan dan kekeluargaan.
“Selain itu, kita juga memperkukuh kandungan, memberi nafas baharu serta menghasilkan kulit buku yang lebih mantap,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berharap penjenamaan semula ini dapat menarik minat pembaca baharu sekali gus mengekalkan sokongan pembaca setia sedia ada.
“Saya harap kita dapat kumpul peminat baharu supaya mereka lebih kenal dengan novel-novel Karangkraf yang lain.
“Pada masa sama, kita juga mahu pembaca lama terus menyokong usaha ini,” katanya.
Program stayKsyen turut menghimpunkan barisan penulis lama dan baharu dalam satu pertemuan istimewa yang dianggap sebagai sesi ‘reunion’ keluarga besar Karangkraf.
Beberapa aktiviti menarik turut diadakan termasuk sesi bertemu peminat, perkongsian pengalaman penulis dan aktiviti interaktif bersama pembaca yang memeriahkan suasana.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
