Pengendali makanan berkuku panjang didenda RM1,000

SEREMBAN - Seorang pengendali makanan didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas pertuduhan gagal mematuhi peraturan kebersihan makanan kerana berkuku panjang semasa bekerja di sebuah premis makanan di Senawang, Ogos tahun lalu.
Majistret, Nurul Azuin Mohd Talhah menjatuhkan hukuman itu ke atas Nur Hazira Hamidon, 26, selepas kertas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, Nur Hazira didapati melakukan kesalahan itu pada 13 Ogos tahun lalu, kira-kira jam 5.35 petang, semasa pemeriksaan penguatkuasaan dijalankan oleh dua pegawai dari Pejabat Kesihatan Daerah Seremban di premis terletak Jalan Taman Komersil Senawang 8.
Tertuduh didakwa mengikut Subperaturan 33(1)(a), Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, kerana menjadi pengendali makanan yang tidak menjaga kebersihan diri.
Tertuduh boleh dihukum di bawah Subperaturan 33(2) yang memperuntukkan hukuman denda jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa, Yusri Mohd @ Yusof, dalam hujahnya memohon agar hukuman setimpal dikenakan ke atas tertuduh bagi memberi pengajaran kepada pengendali makanan lain.
“Menjaga kebersihan diri termasuk menyimpan kuku pendek adalah tanggungjawab asas setiap pengendali makanan.
"Akibat menyimpan kuku panjang menyebabkan kotoran dari kuku merebak ke makanan secara tidak langsung boleh menyebabkan keracunan makanan,” katanya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,000 ke atas tertuduh yang tidak diwakili peguam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

