Sarjan didakwa terima rasuah RM1,000 kes kemalangan jalan raya

Tertuduh tiba di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Rabu.
Tertuduh tiba di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang anggota polis berpangkat Sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan menerima rasuah bernilai RM1,000 pada Disember 2023.

Tertuduh, Wan Shazrul Wan Shamsuddin, 47, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh telah secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM1,000 daripada seorang individu, Muhammad Syawaluddin Mamat, 30.

Wang tersebut diberikan sebagai dorongan untuk melakukan sesuatu perbuatan berhubung dengan hal ehwal prinsipalnya iaitu menyerahkan dokumen-dokumen kes kemalangan jalan raya yang disiasat tertuduh.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah restoran di daerah Mersing pada jam 4 petang, 13 Disember 2023 lalu.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) Akta sama.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya SPRM Ameera D' Aneez Mohd Shukari manakala tertuduh diwakili peguam K. Barathi.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 8 Julai hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin berserta dua syarat tambahan iaitu perlu melapor diri ke pejabat SPRM Johor Bahru sebulan sekali dan menyerahkan passport antarabangsa kepada mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!