Peniaga bazar langgar peraturan keselamatan makanan dikompaun

Dr Kasemani (tengah) menyampaikan plak penghargaan kepada peniaga ketika kempen keselamatan makanan di bazar Ramadan Teluk Ketapang di Kuala Nerus, pada petang Rabu.
Dr Kasemani (tengah) menyampaikan plak penghargaan kepada peniaga ketika kempen keselamatan makanan di bazar Ramadan Teluk Ketapang di Kuala Nerus, pada petang Rabu.
A
A
A

KUALA NERUS - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengeluarkan sebanyak 22 kompaun bernilai RM2,800 ke atas peniaga bazar Ramadan di negeri ini atas pelbagai kesalahan berkaitan keselamatan makanan.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, antara kesalahan dikenal pasti termasuk menggaji pekerja tanpa suntikan anti tifoid, tidak mematuhi peraturan pakaian pengendali makanan (apron), dan tahap kebersihan diri tidak memuaskan.

Menurutnya, sehingga Selasa lalu, sebanyak 840 tapak bazar telah diperiksa daripada keseluruhan 4,351 tapak yang direkodkan di seluruh Terengganu.

Dr Kasemani memakaikan apron kepada peniaga ketika kempen keselamatan makanan di bazar Ramadan Teluk Ketapang di Kuala Nerus, pada petang Rabu.
Dr Kasemani memakaikan apron kepada peniaga ketika kempen keselamatan makanan di bazar Ramadan Teluk Ketapang di Kuala Nerus, pada petang Rabu.

"Setakat 4 Mac lepas, sebanyak 22 dari 64 sampel yang dirancang telah diambil secara rawak melibatkan menu ayam masak merah, nasi kerabu, ayam kerutuk, gulai terung dan ayam paprik.

"Pengambilan sampel ini dilakukan bagi tujuan analisis serta pematuhan Akta Makanan 1983 dan peraturan di bawahnya.

"Tahun lalu, sebanyak 170 notis kompaun dikeluarkan dengan jumlah denda RM17,750, manakala 10 daripada 83 sampel makanan yang diuji tidak mematuhi piawaian keselamatan makanan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan kempen keselamatan makanan di bazar Ramadan Teluk Ketapang, di sini pada petang Rabu.

Beliau berkata, selain bazar Ramadan, pemeriksaan turut dijalankan di pasar raya, kedai runcit, dan pembekal bahan mentah bagi memastikan keselamatan makanan terjamin.

"Secara keseluruhan terdapat 70 lokaliti bazar Ramadan beroperasi tahun ini, termasuk 57 lokaliti (4,117 tapak) yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan 13 lokaliti (234 tapak) melibatkan bazar persendirian.

Artikel Berkaitan:

"JKNT telah menubuhkan 102 pasukan terdiri daripada 410 anggota untuk menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan sepanjang Ramadan kali ini," ujar beliau.

Dalam pada itu, katanya, JKNT turut memperkenalkan penggunaan kod QR bagi membolehkan orang ramai memberi maklum balas mengenai tahap kebersihan premis makanan di bazar Ramadan.

Namun, jelas beliau, setakat ini tiada maklum balas diterima berbanding 11 maklum balas direkodkan pada Ramadan tahun lalu.

Sementara itu, Dr Kasemani turut mengingatkan orang ramai supaya mengamalkan konsep 'perhati dan pilih' sebelum membeli makanan di bazar Ramadan.

Katanya, langkah tersebut penting bagi memastikan keselamatan makanan dan kesihatan orang awam sepanjang bulan Ramadan.

"Sentiasa perhatikan kebersihan kedai dan amalan pengendali makanan. Sebelum makan, amalkan konsep 'lihat, hidu dan rasa'.

"Jika makanan kelihatan berlendir, berbau masam, atau dicemari bendasing, elakkan daripada memakannya," ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!