Wujudkah guru pembuli di sekolah?

Minggu ini nampaknya kisah guru hangat diperkatakan. Merak Jalanan tak naklah ulas kisah seorang guru wanita ‘terlampau’ di sebuah sekolah menengah di selatan tanah air tapi ini mengenai video tular seorang murid ‘disoal siasat’ beberapa guru di tempat terbuka.
Sedih Merak Jalanan tengok anak kecil berusia sembilan tahun itu menangis teresak-esak. Walaupun mungkin dia ada buat salah tapi sangatlah tak profesional memanggil murid di tempat terbuka, dimarahi dan diherdik sedemikian rupa.
Nak menegur pun janganlah sampai menjatuhkan maruah murid. Bukankah lebih elok jika dia dipanggil ke meja guru atau ke bilik kaunseling, jelaskan apa yang betul dan apa yang salah, bukannya ‘menyerang’ dia beramai-ramai di tempat umum sambil merakam video.
Menunjukkan kekuasaan kepada anak-anak yang lemah, sama juga seperti perbuatan membuli. Kasihan kerana emosinya tercalar teruk, enggan ke sekolah kerana malu dan trauma sehingga menyebabkan dia memilih bertukar sekolah. Lebih teruk kerana cikgu berkenaan telah ‘membunuh’ minatnya dalam subjek Bahasa Melayu.
Apa pun, Merak Jalanan ucapkan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan Malaysia kerana segera bertindak untuk siasat isu tersebut.
Merak Jalanan harap insiden itu jadi peringatan penting kepada kita semua bahawa mendidik bukan sekadar menyampaikan ilmu tetapi ia juga soal kasih sayang, adab dan empati.
Janganlah kerana nila setitik, habis tercemar imej guru yang cukup mulia, terpuji dan terhormat di mata masyarakat.
Semoga kita semua terutama guru dan ibu bapa dapat bekerjasama mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih positif, harmoni dan menyeronokkan untuk anak-anak kita.
Ingatlah, dengan herdikan atau kata-kata hinaan, ia boleh mengubah hala tuju hidup seorang kanak-kanak dan dengan pujian, pelukan serta teguran yang penuh hikmah, ia juga boleh mengubah dunia kanak-kanak tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
