Polis rakam keterangan guru dera kanak-kanak pra sekolah

Laporan Sinar Harian berhubung ibu tunggal yang mendakwa anak lelakinya didera guru pra sekolah (kiri), Abang Zainal Abidin
Laporan Sinar Harian berhubung ibu tunggal yang mendakwa anak lelakinya didera guru pra sekolah (kiri), Abang Zainal Abidin
A
A
A

IPOH - Polis sudah merakam keterangan guru yang didakwa terlibat melakukan penderaan ke atas seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun di sebuah sekolah di Jelapang di sini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, keterangan guru berusia lewat 30-an itu diambil pada Disember dan Januari selepas menerima tiga laporan dibuat ibu mangsa.

Menurutnya, selain guru tersebut, keterangan daripada guru kelas lain turut dirakam bagi membantu siasatan.

"Siasatan kes dijalankan di bawah seksyen 323 kanun keseksaan atas kesalahan dengan sengaja mendatangkan kecederaan.

"Kertas siasatan telah dirujuk kepada pendakwa raya negeri untuk tindakan dan arahan selanjutnya," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Beliau berkata, berdasarkan laporan dibuat, kanak-kanak tersebut memaklumkan telah dipukul oleh guru sekolah dan terdapat kesan biru pada tapak tangan kanannya.

Katanya, mangsa telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk pemeriksaan lanjut dan disahkan mengalami kecederaan pada tisu lembut tanpa lebam.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak mengambil tindakan yang melangkaui undang-undang dan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian ini bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran masyarakat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun mengalami kecederaan termasuk luka dan lebam didakwa didera guru di sebuah sekolah di Jelapang.

Ibu mangsa, Aiza Salzul Hanira Zulkapli, 42, memaklumkan, kejadian berlaku sejak September lalu semasa anaknya mengikuti pendidikan pra di sekolah tersebut.

Perbuatan kasar guru terbabit dikatakan berlarutan sehingga Disember lalu apabila mangsa mengadu dirotan, ditampar dan diketuk di kepala hampir setiap hari dengan alasan kanak-kanak itu tidak tahu mengeja dan tidak menyiapkan kerja sekolah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!