Reka bentuk sheet pile Kemubu diputuskan minggu ini

KOTA BHARU - [DIKEMASKINI] Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dalam peringkat untuk memutuskan reka bentuk benteng sementara dinding penahan (sheet pile) Rumah Pam Kemubu, Ketereh di sini yang bernilai RM21 juta bagi menyelesaikan masalah bekalan air tanaman padi kepada lebih 7,000 petani.
Pengerusi KADA, Khalid Abdul Samad berkata, satu jawatankuasa teknikal ditubuhkan pihaknya bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi membicangkan perkara itu.
“KADA di bahagian kejuruteraan awam sudah menyiapkan proposal reka bentuk sheet pile berkenaan dan akan mengadakan mesyuarat bersama dengan JPS untuk keputusan akhir.
“Perjumpaan akan diadakan pada Rabu, Khamis dan Jumaat ini seterusnya bagi mendapatkan kelulusan juga persetujuan JPS terhadap reka bentuk pembaikian sheet pile terbabit,” katanya ketika ditemui di Pejabat KADA Jajahan Kota Bharu Selatan di Melor di sini pada Isnin.

Beliau sebelum itu mengadakan pertemuan bagi mendengar keluhan petani di Bendang Jal, Ketereh dan melawat Projek Pertanian Rintis membabitkan penanaman enam jenis salad serta ternakan ikan oleh kakitangan KADA.
Katanya, rata-rata petani meluahkan masalah dihadapi berkaitan bekalan air ke tanaman padi dan memberi penegasan supaya masalah itu segera diselesaikan bagi menggelak kerugian berterusan.
“Sebaik mendapat persetujuan JPS dan kebenaran kerajaan negeri Kelantan bagi reka bentuk berkenaan, KADA akan terus memulakan kerja-kerja pembaikian sheet pile.
“Kami jangka dalam tempoh sebulan lagi sudah dapat mulakan kerja dan menyasarkan siap sebelum berlaku musim kemarau,” katanya.

Sebelum ini, petani-petani di negeri itu mengalami kerugian berikutan masalah bekalan air yang berlaku semasa musim kemarau lepas berpunca daripada kerosakan sheet pile.
Pembaikian yang dijangka siap pada April itu akan menyelesaikan masalah bekalan air bagi 17,000 hektar tanah sawah padi di kawasan Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh.
Dalam pada itu, Khalid memberitahu KADA sedang menguji benih padi varieti baharu iaitu Climate Ready Seeds (CR).
Menurutnya, percubaan menggunakan benih itu dimulakan pada April tahun lepas di Bendang Muling, Padang Mokan seluas enam hektar dan kini diperluas kepada 48 hektar di kawasan Bachok dan Kota Bharu yang menghadapi masalah bekalan air.
“Kami mendapati bahawa benih padi CR yang dibangunkan oleh Universiti Putra Malaysia ini lebih tahan lasak pada musim kemarau berbanding benih lama,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

