Sabah perhebat bantuan pendidikan untuk rakyat

SABAH sering kali dipandang sebagai negeri yang ketinggalan dalam pelbagai aspek. Namun, di sebalik persepsi itu, kerajaan negeri Sabah telah menunjukkan komitmen kukuh untuk memajukan pendidikan sebagai keutamaan utama dalam meningkatkan kualiti hidup rakyatnya.
Melalui Program Sentuhan Kasih Rakyat 2025 (SYUKUR) dan pelbagai bentuk bantuan pendidikan, kerajaan negeri bukan sahaja memberi tumpuan kepada kesejahteraan jangka pendek, tetapi juga kepada kemajuan jangka panjang.
Menteri Sains Teknologi dan Inovasi merangkap Exco Pendidikan dan Agama, Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif berkata, kerajaan negeri menyediakan 13 inisiatif bantuan pendidikan iaitu Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) secara 'one off', Ihsan Komputer (BAIK), Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA), Graduan Rindu Sabah (GRS) atau Subsidi Tiket Penerbangan (SUBFLY) dan Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Sabah (SENTOSA).
Selain itu, turut disediakan Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia (SEMESTA), Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI), Aktiviti PIBG Sabah (BAGUS), Sumbangan Aktiviti Sekolah Sabah (SUKSES), Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH), Khas Program Pendidikan (BANTU), Ihsan Tabungan Pendidikan Negeri (BISTARI) dan Penyelenggaraan Kecil Sekolah (BALKIS).

Menurut beliau, permohonan bantuan seperti BUDI dan BAIK dibuat secara dalam talian, dan pemohon perlu memuat naik slip gaji ibu bapa atau pengesahan pendapatan bagi pengesahan status B40 atau M40.
“Sungguhpun begitu, terdapat bantuan tunai terbuka kepada semua pelajar bumiputera Sabah tanpa mengambil kira latar belakang pendapatan, seperti GRS, SUBFLY dan SENTOSA.
“Semua pelajar IPTA dan IPTS yang menyambung pengajian peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda secara sepenuh masa adalah layak memohon bantuan ini,” ujarnya.
Tambah beliau, kerajaan negeri menjalin kerjasama erat dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah bagi menjayakan inisiatif bantuan pendidikan berkenaan.
“Sebagai contoh, bantuan seperti BAKTI, BISTARI, BAGUS, SUKSES, BISBAH dan BALKIS menggunakan dapatan data daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD). Manakala BUDI, BAIK, SEMESTA, SUBFLY dan SENTOSA bergantung pada data hasil kerjasama dengan KPT,” katanya.
Bantuan ini bukan sahaja menyasar penduduk bandar, malah turut memberi manfaat kepada penduduk luar bandar.
“Bantuan seperti BUDI, BAIK, SUBFLY, SENTOSA, BAKTI dan BISTARI direka bagi memastikan tiada kelompok terpinggir,” tambahnya.
Menurut Mohd Ariffin lagi, kerajaan negeri turut menyediakan bantuan BISBAH dan BALKIS bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang selesa dan menepati keperluan semasa.
"Kerajaan negeri komited memastikan pendidikan di Sabah berkembang seiring negeri lain. Bantuan ini menyasarkan penyelesaian kepada isu seperti keciciran pengajian disebabkan masalah kewangan, serta memberi motivasi kepada pelajar menduduki peperiksaan utama seperti SPM, STPM dan STAM,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa sokongan kerajaan negeri terhadap pendidikan akan terus diperkukuh melalui hubungan strategik bersama KPT dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), demi merancakkan pertumbuhan pendidikan negeri.
Keterlibatan semua pihak
Dalam pada itu, Focal Person Kebangsaan KPM Sabah, Datuk Mohammad Arif Sakaran berkata, penyediaan pendidikan berkualiti bukan sahaja mampu melahirkan modal insan yang berdaya saing, malah turut menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri untuk jangka masa panjang.
Namun ujarnya, dengan keluasan hampir 74,000 kilometer persegi serta 24 PPD yang beroperasi, Sabah dilihat sangat memerlukan perhatian khusus bukan sahaja daripada KPM, tetapi juga kerajaan negeri serta komuniti setempat, khususnya di kawasan pedalaman.

Menurutnya, Sabah hanya mampu mencapai tahap setara dengan negeri-negeri lain sekiranya aspek pendidikan diberikan keutamaan dan dilaksanakan melalui penglibatan menyeluruh pelbagai pihak.
Tambah beliau, kerjasama pelbagai pihak itu merangkumi daripada komuniti, agensi kerajaan Persekutuan dan negeri serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang kini telah memperlihatkan perkembangan positif pendidikan di Sabah berbanding sedekad lalu.
"Misalnya, bercakap mengenai kerjaya, terutama di kawasan pedalaman, kita akui Sabah mempunyai kekurangan tenaga kerja termasuk dalam bidang pendidikan dan profesional lain, namun hasil perhatian berterusan dari pelbagai peringkat termasuk KPM, kerajaan negeri dan komuniti, kita kini melihat semakin ramai anak Sabah yang berkhidmat sebagai guru di negeri ini terutama di kawasan pedalaman.
"Malah ada dalam kalangan guru tersebut boleh menjadi pakar dalam psikometri untuk mengkaji dan menangani isu-isu pendidikan yang ada di Sabah ini seperti keciciran pelajar dan sebagainya.
"Trend terkini turut menunjukkan semakin ramai pelajar Sabah yang berminat menceburi bidang perubatan dan berpotensi kembali berkhidmat di kawasan asal mereka dalam tempoh lima tahun akan datang. Semua ini adalah hasil usaha pelbagai pihak yang menyediakan persekitaran pendidikan yang kondusif dan menyokong perkembangan mereka termasuk di luar bandar," katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut memberi penekanan terhadap peranan kerajaan negeri khususnya melalui pelbagai inisiatif yang ditawarkan termasuk biasiswa, keperluan asas pendidikan kepada pelajar dari golongan B40.
"Peranan kerajaan negeri bukan baharu, malah sejak dahulu lagi melalui Yayasan Sabah. Bukan hanya bantuan untuk pengajian tinggi, tetapi kini turut merangkumi peringkat sekolah menengah," jelasnya.
Beliau turut berkongsi pengalaman membantu seorang pelajar B40 yang ditawarkan ke sekolah genius di Semenanjung, namun tidak mampu dari segi kewangan.
Selain bantuan kewangan, katanya, kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) seperti bantuan tahunan RM2,000, pembaikan prasarana sekolah dan penyediaan Smart TV untuk tujuan pembelajaran.
"Alhamdulillah, dengan bantuan Yayasan Sabah, pelajar itu berjaya memulakan persekolahan dan kini masih meneruskan pengajian. Saya dimaklumkan bukan seorang sahaja yang dibantu, malah lebih ramai mendapat manfaat.
"Inisiatif ini sangat baik, meskipun tidak dapat diberikan secara menyeluruh. Namun, ia tetap membantu dan menjadi bukti komitmen kerajaan negeri dalam menyokong sektor Pendidikan," ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa untuk mencapai pembangunan pendidikan yang mampan, kolaborasi antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan komuniti amat penting.
"Mungkin Jabatan Pendidikan tidak dapat memantau semua aspek, jadi di sinilah letaknya peranan komuniti. Keterlibatan semua pihak amat diperlukan," katanya.
Bantuan menyeluruh untuk rakyat
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Seri Ruddy Awah pula berkata, program bantuan pendidikan di Sabah sangat memberi kesan dalam menyediakan sokongan kewangan kepada pelajar.
"Sebagai contoh bantuan wang tunai RM150 ke RM300 ini sangat membantu kepada golongan keluarga yang berpendapatan rendah. Selain itu, akses pendidikan lebih inklusif.
"Program seperti Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) atau Bantuan Awal Persekolahan (BAP) memastikan lebih ramai pelajar terus bersekolah," katanya.

Tambah Ruddy, sebagai wakil rakyat di kawasan, bantuan pendidikan sentiasa menjadi keutamaan dan memperuntukkan sekitar RM300,000 hingga RM500,000 untuk pendidikan.
Ujarnya, ia untuk memastikan anak-anak terus dapat belajar dalam keadaan yang baik dan selesa.
"Apabila anak selesa belajar, anak menerima apa-apa sumbangan daripada ADUN kawasan, sudah pasti pelajar akan bercerita dengan ibu bapa mereka. Ibu bapa akan rasa terbela kerana tidak ada lagi komitmen yang besar mereka harus bayar.
"Seperti di DUN saya, yuran dan tabung PIBG sudah saya selesaikan. Secara tidak langsung kita sudah mendapat tempat di hati mereka. Tetap harus ditekankan, bahawa bantuan-bantuan ini haruslah konsisten. Bukan hanya bermusim.
"Sebagai wakil rakyat selama empat tahun berturut-turut, saya lakukan program dengan pendidikan. Konsisten adalah penting supaya pelajar ini tidak berfikir yang pemimpin hanya datang bila perlu," katanya.
Ruddy berpendapat, konsep 'turun padang' berkesan untuk menambah baik program bantuan pendidikan agar lebih relevan terutama bagi penduduk luar bandar.
Beliau turut menyarankan pihak kerajaan negeri mahupun Persekutuan agar kerap melaksanakan program turun padang supaya komunikasi dan pelaksanaan dasar dapat dijalankan dengan lebih efisien.
"Apabila agensi tertentu datang ke sekolah atau ke pejabat pendidikan daerah, kita terus berjumpa dengan mereka. Hal ini menjadi lebih mudah kerana interaksi secara langsung akan dapat menyelesaikan banyak masalah.
"Kalau hanya dihebohkan melalui pautan portal atau aplikasi, kita masih lagi akan terlepas pandang," katanya.
Penerima bersyukur, buktikan kejayaan
Sementara itu, pelajar cemerlang yang meraih 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, Mazuinah Yasmin Azizan berkata, bantuan yang diterima amat bermakna kerana boleh dibuat membeli keperluan pembelajaran seperti buku rujukan, alat tulis, serta mengikuti kelas tuisyen dalam talian.

Jelas bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gadong, Beaufort, Sabah itu, bantuan biasiswa kecil persekutuan yang diterimanya menyuntik semangat untuk belajar dan lebih berusaha.
“Bagi saya, bantuan ini menunjukkan bahawa ada pihak yang percaya saya mampu berjaya. Kepercayaan itu mendorong saya untuk terus berusaha,” katanya.
Mazuinah turut menitip pesanan buat pelajar agar jangan pernah berasa putus asa dalam pelajaran jika kewangan tidak mencukupi.
Ujarnya, pelajar boleh cuba merebut peluang memohon biasiswa yang banyak ditawarkan kerajaan negeri mahupun persekutuan bagi menampung kehidupan.
Kerajaan negeri Sabah telah berjaya menunjukkan bahawa walaupun Sabah mungkin dianggap kurang maju dalam beberapa aspek pembangunan, namun pendidikan tetap menjadi keutamaan.
Dengan pelbagai jenis bantuan pendidikan yang diperkenalkan, kerajaan negeri Sabah bukan sahaja memperbaiki kehidupan rakyat, tetapi juga membangunkan modal insan yang akan menjadi tulang belakang kemajuan negeri ini di masa depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!