Sabah terus raih keuntungan, SSB sumbang dividen RM70 juta

KOTA KINABALU – Sabah Softwoods Berhad (SSB), anak syarikat milik penuh Yayasan Sabah, menyerahkan dividen berjumlah RM70 juta bagi tahun kewangan 2024 kepada Kerajaan Sabah, meningkat RM10 juta berbanding RM60 juta pada tahun sebelumnya.
Pengerusi SSB, Datuk Mohd Arsad Bistari berkata, peningkatan jumlah dividen itu mencerminkan pencapaian prestasi kewangan syarikat yang lebih kukuh dan konsisten, sejajar dengan peranannya dalam menyumbang kepada hasil negeri.
“Pembayaran dividen ini adalah hasil peningkatan prestasi berbanding tahun 2023. Ia mencerminkan komitmen berterusan SSB dalam menjana keuntungan mampan dan menyokong hasil negeri, khususnya Yayasan Sabah selaku pemegang saham utama,” katanya selepas majlis penyerahan dividen kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dalam satu kunjungan hormat di Menara Kinabalu, pada Khamis.
Turut hadir, Pengarah Yayasan Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Datuk Seri Ghulamhaidar Khan Bahadar; Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation merangkap ADUN Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya; dan Ketua Pegawai Eksekutif SSB, Datuk Mohd Daud Tampokong.
Dalam pada itu, Mohd Arsad turut menghargai keputusan Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah yang meluluskan lanjutan pajakan tanah Sapangar selama 30 tahun kepada SSB – satu langkah strategik bagi menjamin kesinambungan operasi perladangan dan pemprosesan syarikat.
“Kelulusan lanjutan pajakan ini amat penting untuk kelangsungan dan kestabilan jangka panjang operasi SSB, khususnya dalam sektor perladangan kayu, kelapa sawit dan pemprosesan. Ini juga sejajar dengan aspirasi pelan pembangunan negeri di bawah Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!