‘Jangan tebuk kapal, semua boleh karam’ - Fuziah

Fuziah memukul gong sebagai gimik Perasmian Bersama Kongres Nasional Tahunan AMK dan Wanita Keadilan 2025 di Johor Bahru pada malam Khamis.
Fuziah memukul gong sebagai gimik Perasmian Bersama Kongres Nasional Tahunan AMK dan Wanita Keadilan 2025 di Johor Bahru pada malam Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Semua ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) diingatkan supaya tidak membawa agenda peribadi yang boleh merosakkan perjuangan bersama hingga menyebabkan perpecahan dalam parti.

Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh berkata, setiap ahli perlu menjaga kesatuan dan tidak bertindak seperti menebuk kapal dari dalam, kerana jika kapal karam, semua akan tenggelam bersama.

Jelas beliau, bukan mudah untuk membina sebuah ‘kapal’ perjuangan, dan menjadi tanggungjawab semua untuk memelihara kesatuan serta menjayakan misi bersama.

“Kita boleh berbeza pendapat. Kita boleh ‘agree to disagree’. Tapi kita semua dalam satu kapal. Kalau ada yang mula menebuk kapal kerana agenda sendiri, semua akan tenggelam.

“Bukan yang menebuk sahaja akan karam, tapi kita semua akan turut karam. Jangan ulang kesilapan lalu. Jangan biarkan ada yang membocorkan kapal kita dari dalam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perasmian Bersama Kongres Nasional Tahunan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita Keadilan 2025 di sebuah hotel di sini, malam Khamis.

Menurutnya, anggota parti perlu sedar bahawa PKR sebelum ini pernah dihina dan dianggap sebagai parti nyamuk sebelum berjaya menerajui Kerajaan Perpaduan ketika ini.

“Kena ingat, kita pernah dipukul, disembur air, dipenjara dan masuk lokap. Kita bina parti ini dengan kesusahan, air mata dan keringat. Bukan mudah untuk kita sampai ke tahap ini dan membina keyakinan rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Kita pernah dikatakan sebagai parti nyamuk dan tidak mampu bertahan. Namun kita terus bertahan dan hari ini kita menjadi kerajaan, dan Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim, adalah Perdana Menteri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa tiada masa lagi untuk berlengah dalam usaha menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang, termasuk PRN Sabah dan Sarawak.

“Selepas Kongres Nasional Keadilan, PRN Sabah bakal berlangsung tidak lama lagi, diikuti PRN Sarawak tahun hadapan dan seterusnya Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Dalam menghadapi dua pilihan raya penting itu, parti menuntut agar semua anggota dan jentera bergerak dengan disiplin tinggi serta memberikan tumpuan sepenuhnya.

“Kita adalah Keadilan. Tiga perkara utama iaitu jentera, disiplin dan fokus tidak boleh dipisahkan. Kita tidak boleh lagi berlengah. Semua perlu bergerak serentak dan bersatu agar kemenangan dapat diraih,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!