Nurul Izzah akui peranan penting Rafizi dalam rundingan Bersatu semasa PRU14

Nurul Izzah. Foto Bernama
Nurul Izzah. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Persaingan merebut jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak menghalang Puteri Reformasi, Nurul Izzah Anwar, daripada mengiktiraf peranan penting seterunya, Datuk Seri Rafizi Ramli, ketika berdepan rundingan pembahagian kerusi pilihan raya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ketika itu, Menteri Ekonomi tersebut berperanan sebagai Pengarah Strategik PKR, dan Nurul Izzah mengakui Rafizi memainkan peranan besar dalam sesi rundingan yang sukar dan mencabar bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang diketuai oleh Pengerusinya ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, sehingga membolehkan PKR memperoleh 48 kerusi Parlimen.

Jelasnya, proses rundingan itu diperjuangkan dengan penuh semangat oleh Rafizi, yang tidak gentar bersemuka dengan Dr Mahathir, serta hadir dalam pertemuan tersebut dengan sokongan pihaknya secara istiqamah, meskipun bekas Timbalan Presiden PKR ketika itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, memilih untuk memboikot.

“Keputusan untuk bersatu dan akhirnya berdepan dengan Dr Mahathir adalah hasil rundingan yang sangat sukar dan getir, namun satu proses yang diperjuangkan dengan penuh semangat oleh saudara Rafizi.

“Rafizi tidak gentar dan hadir ditemani kami yang terus istiqamah, walaupun mantan Timbalan Presiden ketika itu memilih untuk memboikot,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Tambah Nurul Izzah, pasca Langkah Sheraton menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada tahun 2022 menyaksikan jumlah kerusi dimiliki parti berkurangan kepada 31, yang menyulitkan keadaan, namun beliau tetap bersyukur dengan keputusan tersebut.

“Alhamdulillah, Presiden parti kita masih mampu membentuk gabungan yang kukuh hasil diplomasi dan usaha gigih tanpa henti,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau turut bersyukur atas peluang yang diperoleh untuk belajar melalui pengalaman melatih, membimbing dan memimpin parti sepanjang lebih 25 tahun penglibatannya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Nurul Izzah turut mengingatkan bahawa parti tersebut dibina hasil usaha kolektif, bukan hanya sumbangan segelintir individu.

“Segala turun naik perjuangan, sama ada dalam memenangi pilihan raya mahupun mendesak perubahan positif dalam negara, bukanlah hasil kerja seorang atau dua pemimpin sahaja.

“Setiap ketua cabang dan anggota akar umbi juga memainkan peranan yang amat penting. Seperti sebuah pohon, kekuatan parti berpaksikan akar umbi terlebih dahulu, kemudian disokong oleh cabang dan ranting yang mencipta keseimbangan untuk semua,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!