'Saya menang di kawasan Melayu, Rafizi di kawasan Cina' - Nurul Izzah

Nurul Izzah
Nurul Izzah
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar meminta penyokong penyandang jawatan itu, Datuk Seri Rafizi Ramli tidak memperlekehkan kekalahannya di Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Jelas Naib Presiden PKR itu, ini kerana beliau terpaksa bertanding empat kali di kerusi majoriti kaum Melayu dengan tiga daripadanya berjaya dimenangi pengasas bersama parti berkenaan.

Tambahnya, berbeza dengan Rafizi, Menteri Ekonomi itu sebaliknya bertanding sebanyak tiga kali di kerusi bandar majoriti kaum Cina dan menang ketiga-tiga percubaan berkenaan.

"Janganlah kita saling menjatuhkan, sebaliknya akui dan hargailah kekuatan masing-masing. Itulah semangat kebersamaan yang ingin saya kembalikan dalam parti ini.

"Harus kita amati, Saudara Rafizi telah bertanding sebanyak tiga kali di kerusi bandar majoriti Cina dan menang kesemuanya.

"Saya pula telah bertanding empat kali di kerusi majoriti Melayu dan memenangi tiga daripadanya. Kekuatan inilah yang perlu kita satukan demi meningkatkan pencapaian kita dalam pilihan raya," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Nurul Izzah juga percaya bahawa tindakan tegas dan berani amat diperlukan supaya PKR tidak terus kehilangan lebih banyak kerusi dalam pilihan raya akan datang.

Sarannya, semua pihak harus berpegang kepada semangat kerjasama dan musyawarah untuk bersatu sebagai sebuah parti yang mampu bersaing secara efektif dalam pilihan raya dan bukannya berpecah kerana perbezaan dalaman.

Artikel Berkaitan:

"Isunya bukan semata-mata tentang sokongan 30 peratus pengundi Melayu atau rekod tertinggi 54 peratus yang kita capai pada tahun 1999," ujarnya lagi.

Nurul Izzah turut mengingatkan sebagai parti berbilang kaum, PKR bergantung pada rakan-rakan gabungan untuk membina asas sokongan yang lebih luas bagi membentuk kerajaan.

Justeru, kata beliau, parti itu mesti terus memberi perhatian kepada nasib semua rakyat termasuklah warga Sabah dan Sarawak.

"Usaha itu bermula dengan mendengar cabaran harian mereka hadapi dan menggubal dasar-dasar yang memberi kesan nyata kepada kehidupan seharian," kongsi beliau lagi.

Dalam pada itu, Nurul Izzah memberitahu nasib para pekerja gig tidak formal; ibu dan bapa tunggal serta keluarga mereka amat dekat dengan hatinya.

"Semua sedang bergelut menghadapi kos sara hidup menekan dan berusaha untuk menyediakan keperluan buat orang tersayang. Rakyat perlu diperkasa dan diangkat martabatnya bukan dipinggirkan daripada sokongan ekonomi.

"Saya telah turun bertemu akar umbi, dan saya akan terus mendengar dan menyantuni kesemuanya. Apa yang mendorong saya sejak dahulu bukanlah kuasa dan pangkat, tetapi kesan perubahan yang boleh dimanfaatkan oleh rakyat," tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!