'Rafizi akan sentiasa jadi sahabat saya' – Nurul Izzah

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Di sebalik perseteruan dalam merebut jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Puteri Reformasi, Nurul Izzah Anwar bertekad akan sentiasa menganggap Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli sebagai sahabatnya sampai bila-bila.
Naib Presiden PKR itu berkata, di sebalik Rafizi dan dirinya sering mempunyai perbezaan pendapat, beliau turut merasakan mereka mempunyai banyak persamaan dari segi cita-cita dan semangat perjuangan.
Katanya, sejarah PKR itu sendiri lahir daripada sejarah persahabatan yang penuh dengan kepelbagaian, cuma pemimpin-pemimpin parti itu kadangkala menghabiskan lebih banyak tenaga bertelagah sesama sendiri daripada melawan musuh sebenar.
"Saya akan sentiasa beringat dengan pesanan saudara kepada saya dan apa pun yang berlaku pada 23 Mei ini - pertalian sahabat antara kita kekal sampai bila-bila, berserta kenangan saat-saat manis terpaksa bermasam muka secara bersama dalam menghadapi (rundingan kerusi pilihan raya pada Pilihan Raya Umum ke-14) Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahukan semua kerusi selamat.
"Saya tahu kita punya perbezaan pendapat. Namun hakikatnya, kita juga berkongsi begitu banyak persamaan dari segi cita-cita dan semangat perjuangan.
"Saudara (Rafizi) akan sentiasa menjadi sahabat saya. Kita pernah bersama melawan kebobrokan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Kita berjuang demi reformasi," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Nurul Izzah berkata, pemimpin-pemimpin PKR sebelum ini tidak mempunyai apa-apa seperti mana yang dimiliki parti itu sekarang, namun mereka sedar apa dilakukan ketika itu merupakan sesuatu penting dan bermakna.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan supaya PKR perlu menyatukan kekuatan yang membawa kebaikan dalam berhadapan dengan cabaran dalaman dan dilema sebagai sebuah parti dalam kerajaan.
"Kita raikan kepelbagaian ini, selagi mana semangat perjuangan reformasi terus dibawa," ujarnya.
Menurut Puteri Reformasi itu, matlamatnya dan Rafizi masih tetap sama untuk memelihara kepentingan negara walaupun pendekatan dan cara dipilih mungkin berbeza.
Nurul Izzah turut setuju bahawa parti tersebut harus menjauhi budaya berpuak atau kecenderungan kepada sanjungan dan kepentingan diri.
"Tulusnya, mesej ingin saya sampaikan menerusi pencalonan ini adalah membawa kepada kepimpinan yang mendengar dan menggarap semua usaha.
"Akhirnya kita semua manusia biasa, dan hanya akan menjadi lebih baik apabila kritikan konstruktif dijadikan sebahagian daripada asas pembinaan diri dan organisasi," katanya.
Nurul Izzah mendedahkan dirinya masih menyimpan segala peringatan, komentar, amarah yang dikirim, namun menganggap semuanya datang untuk memastikan parti dan negara selamat daripada sebarang bahaya.
Tambahnya, dia terbuka dan bersedia untuk bekerjasama dengan Rafizi demi memperkukuh parti sekiranya diberikan amanah itu, dan akan tetap bersama mendukung usaha membina parti lebih kuat dan bersatu sekiranya Rafizi diberikan mandat itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!