'Saya ini memang orang tidak suka' - Azam Baki

PUTRAJAYA - "Terpulanglah, saya ini memang orang tidak suka kata."
Itu kata Tan Sri Azam Baki berhubung kritikan terhadap dirinya mengenai pelantikan semula beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Beliau berkata, sebagai negara yang merdeka, beliau tidak kisah dengan kritikan yang dilemparkan terhadapnya.
“Terpulanglah, saya ini memang orang tak suka, jadi terpulanglah. Ini negara yang merdeka dan ini adalah negara yang bebas, anda boleh cakap apa sahaja yang anda mahu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya di sini pada Khamis.
Sebelum ini, beberapa pihak membantah keputusan penyambungan kontrak jawatan nombor satu suruhanjaya berkenaan.
16 Mei lepas, calon Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bersedia menyampaikan bantahan terhadap keputusan penyambungan kontrak Azam kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya diberi mandat dalam pemilihan parti akan datang.
Bagi Ketua Penerangan Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari pula, beliau menyifatkan keputusan melanjutkan kontrak jawatan berkenaan untuk penggal ketiga mencerminkan kekeliruan dan ketidaksepakatan dalam kalangan pimpinan utama kerajaan.
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli turut menyatakan beliau tidak bersetuju dengan pelanjutan tersebut.
Pada 9 Mei, Azam diberi mandat untuk terus meneraju suruhanjaya berkenaan untuk tempoh setahun berkuat kuasa 13 Mei 2025 hingga 13 Mei 2026.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, pelantikan itu dibuat setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!