Terima surat tunjuk sebab, ingat PKR berani pecat - Rafizi

Tangkap layar hantaran video dimuat naik Rafizi di Facebook pada Khamis.
Tangkap layar hantaran video dimuat naik Rafizi di Facebook pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli mengesahkan menerima surat tunjuk sebab daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) atas alasan beliau telah mengisytiharkan keluar parti.

Bekas Menteri Ekonomi itu berkata, surat berkenaan dikeluarkan susulan kenyataannya mengenai hasrat bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) bukan atas tiket PKR.

"Kononnya saya isytihar keluar parti bila saya sebut saya akan bertanding di PRU16 tetapi bukan atas tiket PKR.

"Itu perancangan apabila Dewan Rakyat dibubarkan dan saya tidak lagi terikat dengan Akta Anti-Lompat Parti. Setelah saya tidak lagi menjadi ahli Parlimen, memang terpulang kepada saya hendak buat apa," katanya dalam satu hantaran video di Facebook pada Khamis.

Bagaimanapun, Rafizi berkata, undang-undang tidak boleh diputuskan berdasarkan niat semata-mata, sebaliknya kerusi Parlimen hanya boleh gugur sekiranya seseorang wakil rakyat mengumumkan keluar parti atau menyertai parti lain secara sah dan rasmi.

"Konar baring daripada Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh ini tidak ubah seperti konar-konar baring semasa pemilihan PKR tempoh hari dari pertukaran sistem mengundi, kepada block chain, kepada keengganan membuka peti undi untuk diaudit.

"Sekarang konar baring itu hendak digunakan untuk menggugurkan saya dari Parlimen, walaupun saya tidak isytihar keluar parti," katanya.

Sehubungan itu, Rafizi memaklumkan akan menjawab surat tunjuk sebab yang diterima serta menjelaskan pendiriannya kepada kepimpinan parti.

Dalam perkembangan sama, beliau turut membandingkan gaya kepimpinan antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Artikel Berkaitan:

"Satu perkara yang membezakan Anwar dengan Muhyiddin adalah soal keberanian dalam membuat keputusan. Kalau saya dalam Bersatu, sudah lama saya kena pecat.

"Tapi Anwar, seperti yang saya pernah sebut dalam podcast, kalau boleh dia nak semua orang buat untuk dia. Apa yang saya sebut sebelum ini sebagai entitlement yang dia ada. Dia rasa hak dia supaya orang berkorban untuk dia kerana dia pemimpin besar," menurutnya lagi.

Rafizi turut mendakwa bahawa apabila beliau mengkritik kepimpinan parti, ramai menjangkakan tindakan tegas akan diambil, namun perkara itu tidak berlaku.

"Tapi Anwar dan PKR, dia hendak suruh saya tolong selesaikan masalah itu bagi pihak dia. Sebab kalau dia pecat, maka saya akan kekal sebagai ahli Parlimen.

"Dia nak saya isytihar keluar, kemudian Speaker dari PKR isytihar saya bukan lagi ahli Parlimen," tambahnya.

Ringkasan AI

  • Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli menerima surat tunjuk sebab daripada PKR kerana dianggap telah mengisytiharkan keluar parti
  • Rafizi menyatakan hasrat bertanding di PRU16 tetapi bukan atas tiket PKR dan menunggu pembubaran Dewan Rakyat untuk bebas dari Akta Anti-Lompat Parti
  • Menurut Rafizi, undang-undang tidak boleh diputuskan hanya berdasarkan niat dan kerusi Parlimen hanya boleh gugur jika seseorang secara sah keluar atau menyertai parti lain
  • Rafizi akan menjawab surat tunjuk sebab PKR dan menjelaskan pendiriannya kepada kepimpinan parti
  • Beliau membandingkan gaya kepimpinan Anwar Ibrahim dengan Muhyiddin Yassin, mengkritik pendekatan Anwar dalam membuat keputusan dan kepemimpinan PKR

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!