Kempen Rafizi 'cacatkan' persepsi ahli, rakyat terhadap PKR - Shamsul Iskandar

Shamsul Iskandar
Shamsul Iskandar
A
A
A

MELAKA - Calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli tidak wajar melakukan tindakan yang boleh 'mencacatkan' persepsi ahli dan juga rakyat terhadap parti itu sepanjang tempoh berkempen.

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, ini kerana perbuatan 'terlajak' dan kritikan terbuka yang dilakukan individu itu terhadap pemimpin dalam parti disifatkan tidak bijak.

Malah menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR telah memberi panduan serta peringatan kepada semua calon supaya berkempen tanpa 'terlajak' pada pemilihan kali ini.

Katanya, bimbang sekiranya berlaku serangan yang terlajak ini, tentunya menyukarkan proses untuk mengukuhkan dan merapatkan saf dalam kalangan kepimpinan parti itu.

"Istilah yang digunakan Perdana Menteri jangan lajak, jadi kita faham.

"Jadi pendekatan itu tidak bijaksana, kerana kita seharusnya memberikan satu keadaan yang kondusif dan kefahaman jelas kepada anggota parti mengenai hala tuju kita," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan kunci Rumah Mesra Rakyat 2025 Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) kepada dua penerima di Taman Desa Molek, Ayer Molek di sini, pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang juga Ketua Cabang Hang Tuah Jaya, berkata, sebagai pemimpin politik yang lama tentunya ahli mahu menjadikan pemilihan ini satu medan untuk memilih pemimpin yang boleh menyediakan suatu wadah yang boleh diterima pelbagai kaum.

Ujarnya, di situasi ketika ini, rakyat memberi fokus kepada parti itu yang menjadi teras kepada kerajaan Malaysia Madani.

"Kita mesti menunjukkan contoh yang baik. Saya ambil pendirian untuk berkongsi pandangan sama dengan PM kerana diakhirnya pemilihan itu waktu untuk kita merapatkan lagi saf kepimpinan," katanya lagi.

Terdahulu, Rafizi yang juga Menteri Ekonomi menerusi beberapa siri kempen Jelajah HIRUK (Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Kuasa) didakwa melakukan serangan terbuka kepada kepemimpinan PKR serta Anwar selain cuba mencetuskan perpecahan dalam parti.

Ahli Parlimen Pandan itu juga dikatakan membuat beberapa kenyataan `panas' termasuk membayangkan beliau mungkin akan kembali tidak dibenarkan masuk ke Sarawak sekiranya tiada lagi berjawatan dalam kerajaan dan parti.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!