[VIDEO] ‘Ma jangan tinggal abah’ – Pesanan akhir arwah jemaah haji kepada isteri
MAKKAH – “Ma jangan tinggal abah.”
Itu antara pesanan terakhir Allahyarham Abdullah Mat, 59, jemaah haji Malaysia yang meninggal dunia di Tanah Suci pada pagi Isnin akibat serangan jantung kepada isterinya, Sarifah Hassan, 57, sebelum mereka berdua berangkat ke Tanah Suci bagi mengerjakan haji sebelum ini.
Sarifah berkata, sejak di Malaysia lagi, arwah suaminya selalu berpesan supaya tidak meninggalkannya kerana gangguan saraf mata dihidapinya.
“Pagi Subuh tadi (Isnin), saya terkejut terima panggilan telefon beritahu dia rebah ketika melakukan tawaf sunat sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya.
Sarifah berkata, kali terakhir dia bertemu suaminya adalah pada Ahad selepas minum air zamzam dan membeli roti serta kek di kedai bersama.
Menurutnya, selepas kembali ke bilik penginapan masing-masing pada tengah hari Ahad, suaminya sempat memintanya menunjukkan cara menggunakan penyangkut baju lipat yang dibawa dari tanah air.

“Masa itu saya tengok dia biasa sahaja. Sebenarnya saya yang tak sihat kerana sudah dua hari sakit perut serta cirit-birit.
“Dia sempat pesan suruh saya makan ubat,” katanya ketika ditemui di Abraj Al Janadriyah di sini.
Sarifah berkata, dia dan rakan sebilik berhasrat untuk solat Subuh (Isnin) di Masjidil Haram, namun disebabkan kepenatan, hanya suami dan rakan sebiliknya yang pergi.
“Malam itu saya dan rakan sebilik ke Masjidil Haram untuk solat Maghrib dan Isyak, namun suami dan rakan-rakannya tidak ikut sama kerana mereka mahu berehat.
“Mereka pergi solat di Masjidil Haram waktu Subuh tetapi saya dan rakan sebilik yang juga isteri kepada rakan-rakannya tak ikut. Itu ketentuan untuk saya dan untuk dia. Memang reda, tetapi hati nak reda sebab terkejut... mungkin makan masa,” katanya.

Ujarnya, Allahyarham tidak menghidap sebarang penyakit sebelum ini kecuali gangguan saraf mata.
“Sebelum berangkat ke Tanah Suci pun anak dia yang kerja sebagai doktor dah periksa dan pastikan dia sihat.
“Tapi disebabkan dia ada sakit saraf mata dan tak nampak objek jauh, dia cakap depan anak-anak, ‘Ma... Ma jangan tinggal Abah ye,’ dan saya beritahu dia, ‘Ma tak tinggalkan Abah.," katanya.
Menyifatkan arwah suaminya sebagai bapa penyayang, Sarifah berkata, suaminya juga gemar membantu orang dan bersedekah.
Katanya, sejak di Madinah lagi, arwah sering membuat sabil dan bersedekah.

“Arwah merupakan suami yang baik, seorang bapa penyayang dan suka membantu orang. Pada bulan Ramadan, dia akan sumbang beras dan minyak masak kepada penduduk di kampung dia, kampung saya dan ibu bapanya. Hari Jumaat pula, dia kerap belanja orang makan roti canai di kedai berhampiran rumah.
“Di sini (Makkah) pun kawan-kawan dia beritahu, dia beli jubah pelbagai saiz untuk disedekahkan kepada rakan-rakan di tanah air,” katanya.
Kata Sarifah, dia bersyukur anak-anak dapat menerima berita itu dengan tenang dan positif mengenai kematian bapa mereka.
“Anak-anak cakap, jangan bimbang, Abah insan terpilih. Arwah pergi tempat molek (baik). Alhamdulillah anak-anak beri sokongan. Mereka kata tunggu saya balik.

“Memanglah kalau tengok dari segi zahir nampak kuat, tetapi dalaman tak kuat. Saya bergantung sepenuhnya kepada suami. Bila arwah suami dah tiada, ibarat tiada sayap sebelah,” katanya lagi.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan seorang jemaah haji Malaysia meninggal dunia di Tanah Suci pada pagi Isnin akibat serangan jantung.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, berkata jemaah berkenaan, Abdullah Mat, 59, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Jiwar, Jabal Omar, Makkah.
Ini adalah kes kedua membabitkan kematian jemaah haji Malaysia di tanah Suci selepas Allahyarhamah Norizah Tambonan, 47, yang dilaporkan meninggal dunia Jumaat lalu akibat serangan jantung.
Abdullah yang juga jemaah dari Maktab 89A menginap di Abraj al Janadriyah ditemani isterinya, Sarifah Hassan.
Pihak Tabung Haji akan menguruskan pelaksanaan badal haji untuk Allahyarham dan urusan berkaitan lain akan disempurnakan dengan sebaiknya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!