[VIDEO] Lipan Bara bantu jemaah haji sesat, sakit di Masjidil Haram

A
A
A

MAKKAH – Jemaah haji, terutama warga emas yang tersasar dan lupa arah jalan pulang ke bangunan penginapan masing-masing, tidak perlu risau dengan kehadiran Skuad Lipan Bara yang akan membantu mereka di sekitar Masjidil Haram.

Bertopi merah, berbaju-T warna kelabu dan berseluar hitam, kelibat anggota unit peronda itu mudah dikenali dalam lautan jemaah haji yang datang dari seluruh pelusuk dunia.

Pasukan khas berkenaan bukan sekadar menjadi pemandu arah kepada jemaah haji Malaysia yang tersesat, malah turut berperanan penting dalam menangani kecemasan kesihatan dan kebajikan jemaah di Tanah Suci.

Menurut Pengurus Khidmat Pelanggan Abraj Al Janadriyah, Zaini Rashid, pasukan Lipan Bara terdiri daripada anggota Polis Bantuan Tabung Haji dari seluruh negara yang ditugaskan 24 jam sehari sepanjang musim haji, terutama ketika kemuncak ketibaan jemaah.

“Pasukan ini ditempatkan di sekitar Masjidil Haram, khususnya di pintu Marwah yang sering menjadi kawasan jemaah keliru arah untuk pulang ke bangunan penginapan.

“Kita faham, majoriti jemaah merupakan golongan warga emas dan ramai yang pertama kali menunaikan haji, jadi ada antara mereka mudah keliru,” katanya kepada pemberita di Abraj Al Janadriyah di sini.

Jemaah haji terutama warga emas tersasar dan lupa arah jalan pulang ke bangunan penginapan masing-masing tidak perlu risau dengan kehadiran Skuad Lipan Bara yang akan membantu mereka di sekitar Masjidil Haram. (Gambar kecil: Zaini Rashid, Khairul Anuar)
Jemaah haji terutama warga emas tersasar dan lupa arah jalan pulang ke bangunan penginapan masing-masing tidak perlu risau dengan kehadiran Skuad Lipan Bara yang akan membantu mereka di sekitar Masjidil Haram. (Gambar kecil: Zaini Rashid, Khairul Anuar)

Artikel Berkaitan:

Tambah Zaini, seramai 15 anggota ditugaskan sebagai anggota Lipan Bara tahun ini dan dibahagikan kepada dua kumpulan.

Katanya, setiap kumpulan terdiri daripada tujuh anggota termasuk seorang ketua.

“Di setiap pos, kita tempatkan seorang atau dua anggota bergantung kepada tahap kesesakan. Ketika di Masyair nanti, penugasan akan diubah mengikut keperluan semasa,” jelasnya.

Selain membantu jemaah tersasar, Lipan Bara turut membantu jemaah yang sakit di kawasan Masjidil Haram.

Katanya, terbaharu seorang jemaah wanita warga emas yang terseliuh di kawasan Masjidil Haram dibantu anggota Lipan Bara sehingga pulang dengan selamat ke bangunan penginapan.

“Bukan sahaja warga emas, malah golongan muda pun ada yang tersasar. Saya sendiri pernah temui seorang jemaah muda yang keliru arah selepas keluar dari kawasan Marwah. Ini perkara biasa bagi jemaah yang pertama kali datang ke Tanah Suci,” katanya.

Zaini berkata, antara inisiatif lain yang ditawarkan Unit Perkhidmatan Pelanggan ialah pinjaman kerusi roda secara percuma, penggantian lencana pengenalan serta gelang tangan jemaah yang rosak, selain menjadi rujukan utama bagi sebarang kecemasan.

Bertopi merah, berbaju T warna kelabu dan berseluar hitam, kelibat anggota unit peronda itu mudah dikenali dalam lautan jemaah haji yang datang dari seluruh pelusuk dunia.
Bertopi merah, berbaju T warna kelabu dan berseluar hitam, kelibat anggota unit peronda itu mudah dikenali dalam lautan jemaah haji yang datang dari seluruh pelusuk dunia.

Setakat ini, katanya, 100 peratus aduan yang diterima telah berjaya diselesaikan dengan segera.

Beliau berkata, pasukan Lipan Bara juga bersedia dalam sebarang situasi termasuk menyimpan kain ihram sekiranya perlu menghulurkan bantuan kepada jemaah yang menghadapi kesulitan di kawasan Kaabah.

“Ada kalanya kami tidak dibenarkan masuk ke kawasan Mataf kerana berpakaian biasa. Jadi, anggota Lipan Bara sentiasa bersedia dengan kain ihram. Sekiranya perlu masuk untuk tujuan menyelamat, kami akan tukar pakaian serta-merta,” katanya.

Nama Lipan Bara digunakan lebih sedekad lalu, diinspirasikan daripada pergerakan berbaris anggota yang berpakaian merah dan bergerak serentak menyerupai lipan merah menyala.

Sementara itu, Ketua Unit Lipan Bara, Khairul Anuar Ramli, 53, berkata pasukan itu dibahagikan kepada dua kumpulan dengan tugasan syif bermula 8 pagi hingga 2 petang, 2 petang hingga 10 malam dan 10 malam hingga 8 pagi keesokan harinya.

Katanya, pelbagai pengalaman diperoleh sepanjang empat kali bertugas pada musim haji.

“Ada jemaah haji yang terpisah dengan keluarga di kawasan masjid, tersasar laluan dan sebagainya.

“Ada juga kes jemaah haji yang telah membayar caj khidmat kepada individu tertentu untuk menolak mereka menggunakan kerusi roda tetapi ditinggalkan di tepi jalan. Pasukan kami bantu hinggalah mereka pulang ke bangunan penginapan dengan selamat,” katanya.

Khairul Anuar yang juga Ketua Unit Keselamatan Tabung Haji (TH) Pahang berkata, berjalan kaki lima ke enam kilometer sehari menjadi rutin anggota unit itu apabila bertugas pada syif ditetapkan.

“Kami cuba sedaya upaya untuk bantu jemaah yang memerlukan.

“Anggota pasukan juga dibekalkan dengan air garam malah ia juga diedarkan kepada jemaah yang memerlukan,” katanya.

Seorang lagi petugas Lipan Bara, Aqwa Hirzi Ahmad Norhisham, 31, berkata teruja dapat menimba pengalaman pertama kali menjadi petugas pasukan berkenaan.

Anggota polis bantuan Ibu Pejabat TH itu berkata, dia turut gembira dapat menyantuni tetamu ALLAH pada tahun ini.

“Cabarannya, kita buat dua kerja dalam satu masa iaitu menyantuni jemaah haji dan dalam masa sama melakukan ibadat di Tanah Suci.

“Tahap kesabaran kena tinggi apatah lagi bekerja dengan cuaca mencecah 45 darjah Celsius pada masa sekarang, namun insya-Allah dengan bantuan Allah akan dipermudahkan segalanya,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!