Hilang punca rezeki jika kafe dirobohkan

Khuzairy bersama isteri dan anaknya di hadapan kafe mereka.
Khuzairy bersama isteri dan anaknya di hadapan kafe mereka.
A
A
A

TAMAN KERAMAT – Sepasang suami isteri mendakwa akan kehilangan punca pendapatan jika kafe yang diusahakan sejak 20 tahun lalu dirobohkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Pemilik Cafe Al Hambra, Khuzairy Abu Hassan berkata, pihaknya dimaklumkan operasi perobohan itu dijangka akan dilaksanakan esok.

“Saya telah terima notis untuk membuka struktur premis ini pada Jumaat lalu, saya difahamkan perobohan kafe saya ini adalah untuk memberi laluan kepada projek pembinaan dewan yang sedang giat dilaksanakan,” katanya

Khuzairy berkata, keuntungan perniagaan yang diperoleh tidak banyak kira-kira RM200 sehari, itu pun bergantung kepada jumlah pelanggan.

“Duit yang diperoleh itu adalah untuk menyara isteri dan tiga orang anak berusia 10, 16 dan 21 tahun,” katanya.

Menurutnya, dia pernah berusaha pergi ke Pejabat Tanah dan Daerah Gombak bagi memohon pajakan tanah.

“Tanah kafe ini hanya berkeluasan 10x10, saya telah membuat rayuan kepada agensi berkenaan sejak 2009,” katanya.

Khuzairy berkata, sebuah bank telah menawarkan pinjaman sebanyak RM30,000, wang tersebut digunakan untuk kos ubahsuai kedai pada dua tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

“Isteri saya pula sanggup menggadai barang kemas kerana kos ubah suai mencecah kira-kira RM50,000,” katanya.

Khuzairy memaklumkan dia pernah mendapat tender mengendalikan kafeteria di sebuah hospital kerajaan.

“Saya dapat tender itu sejak 2010 hingga 2016, namun saya tidak disambungkan lagi perkhidmatan mengendalikan kafeteria tersebut,” katanya.

Dia memaklumkan dirinya juga tidak sihat kerana sakit tulang belakang.

“Saya tidak boleh buat kerja berat, malah doktor juga menyarankan saya perlu melakukan pembedahan, kos pembedahan pula tinggi dan saya juga khuatir jika ada kesan sampingan selepas pembedahan,” katanya.

Khuzairy berharap pihak berkenaan dapat mempertimbangkan operasi perobohan tersebut.

“Saya memerlukan kos yang tinggi untuk memulakan perniagaan balik jika saya berpindah ke tempat lain, hutang sedia ada pun sudah banyak.

“Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) pula ada menyarankan saya memohon mana-mana medan selera lain, namun tiada jaminan ada kekosongan di medan selera itu,” katanya.

Sementara itu, Sinar Harian telah menghubungi Pegawai Komunikasi Korporat MPAJ, Norhayati Ahmad, beliau memaklumkan akan menyemak kes yang dibangkitkan oleh pemilik kafe itu.