Pindaan Akta Audit 1957 beri kuasa Jabatan Audit Negara audit 1,856 GLC

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pindaan Akta Audit 1957 (Akta 62) membolehkan Jabatan Audit Negara (JAN) mengaudit semua 1,856 syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, berdasarkan pengauditan dan susulan audit yang dibuat serta dibentangkan dalam Jawatankuasa Susulan Laporan Ketua Audit Negara (JSLKAN).
Menurutnya, ini selaras dengan pindaan Akta 62 pada hujung tahun lepas yang memperluaskan kuasa Ketua Audit Negara dalam pengauditan terhadap badan lain termasuk syarikat yang menerima jaminan kewangan serta pelaksanaan pendekatan baharu iaitu 'follow the public money audit', jelas menunjukkan peranan dan tanggungjawab strategik JAN dalam mengesan dan menilai risiko fraud perakaunan secara lebih berkesan dan bersasar.
"Kesemua jabatan GLC tidak akan terlepas daripada tindakan apabila laporan LKAN itu diterbitkan oleh pihaknya.
"Tindakan yang dibuat oleh JSLKAN mengesan beberapa ketirisan yang pada akhirnya akan dikutip semula sama ada dalam penyata kewangan negeri atau penyata kewangan Kerajaan Persekutuan.
"Malah kita juga mengaudit badan berkanun dan 1,875 syarikat berkaitan kerajaan dan apabila kita mengesan ketirisan berlaku, sama ada yang tidak dikutip, tidak diterima atau sebagainya, kita akan pastikan tindakan susulan dilakukan," katanya dalam sidang akhbar Majlis Peluncuran Kumpulan Kerja Fraud Perakaunan (KKFP) di Royale Chulan di sini pada Isnin.
Turut hadir Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dan Akauntan Negara, Nor Yati Ahmad.
Wan Suraya berkata, dalam proses ini, pihaknya bukan sekadar mahu hasil itu dipulangkan semula tetapi mahu mengesan sama ada berlakunya ketidakteraturan serius atau isu-isu tadbir urus.
Dalam pada itu, katanya, JAN juga sedang meneroka teknologi baharu bagi mengesan penipuan sejajar dengan trend yang semakin kompleks dan berkembang.
“JAN kini sedang menjalani proses pendigitalan di mana hampir semua audit kini dijalankan secara digital.
"Kami juga sedang meneroka bagaimana kami boleh menggunakan teknologi baharu untuk mengesan penipuan, terutamanya isu penipuan yang kompleks dan baru muncul. Ini sudah menjadi sebahagian daripada proses kerja kami yang sedang berjalan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
