JIM Kuala Lumpur tahan 1,789 PATI sejak Januari

KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur telah menahan seramai 1,789 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam 272 operasi yang dilaksanakan sejak Januari hingga Selasa.
Pengarah JIM Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, operasi berkenaan dijalankan setiap hari sebagai sebahagian daripada usaha berterusan pihak berkuasa.
“Penguatkuasaan adalah keutamaan kita dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.
“Seramai 68 majikan tempatan dan asing turut dikenakan tindakan kerana menggaji atau melindungi PATI,” katanya pada sidang akhbar di pejabat JIM Kuala Lumpur, di sini, pada Rabu.
Wan Mohammed Saupee berkata, hasil daripada pelaksanaan operasi itu, kutipan kompaun keseluruhan mencecah RM4.59 juta.
“Sebanyak 1,551 kertas siasatan telah dibuka membabitkan pelbagai kesalahan seperti tiada dokumen perjalanan yang sah, tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan dan salah guna pas.
“Tangkapan tertinggi yang direkodkan melibatkan warga Indonesia, diikuti oleh warga Bangladesh, Myanmar dan Pakistan,” jelasnya.
Mengulas mengenai Program Repatriasi Migran 2.0, Wan Mohammed Saupee memaklumkan bahawa seramai 96 warga asing telah menyertai program tersebut dalam tempoh dua hari bermula Isnin.
“Kutipan hasil menerusi program itu berjumlah RM26,840, merangkumi bayaran kompaun dan pas khas,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!