KPM cadang wajibkan pendidikan hingga sekolah menengah melalui pindaan Akta Pendidikan - Menteri

BANGI - Kementerian Pendidikan (KPM) bercadang membentangkan pindaan Akta Pendidikan 1996 yang mewajibkan semua kanak-kanak warganegara Malaysia mendapat akses pendidikan hingga ke peringkat sekolah menengah, dalam sesi Parlimen akan datang.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pindaan berkenaan adalah kesinambungan dasar kerajaan yang mewajibkan semua kanak-kanak mendapat pendidikan hingga tamat sekolah rendah sebelum ini.
"Pindaan berkenaan adalah dasar baharu, sebelum kita melaksanakan polisi untuk mewajibkan semua kanak-kanak mengikut pendidikan prasekolah pada masa depan.
"Pindaan ini adalah langkah penting KPM bagi memastikan semua kanak-kanak warganegara Malaysia mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti hingga ke peringkat sekolah menengah pada masa depan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Program Pesona Inspirasi Keluarga Madani yang dianjurkan oleh Pertubuhan HELWA Angkatan Belia Islam Malaysia (HELWA ABIM), dan Pertubuhan Salwa Malaysia di sini pada Selasa.
Menurutnya, pindaan berkenaan penting bagi memastikan kanak-kanak di negara ini mendapat pendidikan sempurna merangkumi pelbagai aspek termasuk pembentukan peribadi pelajar dan akhlak sekali gus memberi penekanan terhadap peranan ibu bapa dan komuniti dalam mendidik anak-anak.
Katanya, pendidikan karakter perlu dijadikan teras dalam dasar pendidikan negara bagi menangani pelbagai isu sosial dan kekeluargaan yang semakin membimbangkan.
Ujarnya, pendekatan pendidikan semata-mata tanpa membentuk jati diri dan akhlak murid akan gagal membawa perubahan yang diperlukan dalam masyarakat.
“Jadi pendidikan karakter hanya dilaksanakan di sekolah tanpa disambut di rumah, maka segala usaha akan sia-sia.
“Kita perlu bina ekosistem pendidikan yang menyeluruh iaitu dari sekolah ke rumah dan komuniti,” katanya.
Dalam ucapannya, Fadzlina juga menyentuh mengenai isu kadar perceraian yang kekal tinggi, keganasan rumah tangga, kehamilan remaja di luar nikah, perkahwinan bawah umur serta konflik antara generasi dalam institusi keluarga.
Beliau juga melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kes wanita maut di tangan pasangan sendiri dan menyifatkan rumah tidak lagi menjadi tempat selamat bagi sebahagian wanita.
“Kita tidak boleh berdiam diri apabila rumah yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat kini menjadi lokasi tragedi buat wanita,” tambahnya.
Fadhlina turut menekankan keperluan untuk memperkukuh pendidikan seksual dan kesihatan reproduktif melalui Modul Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) yang menurutnya harus segera dilaksanakan di peringkat komuniti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!