Sistem lesen memandu perlu direvolusi, elak manipulasi

Kerajaan perlu merevolusikan sistem pengujian lesen memandu secara menyeleruh bagi mengelakkan ia dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab. Gambar kecil: Hakim Hafizi.
Kerajaan perlu merevolusikan sistem pengujian lesen memandu secara menyeleruh bagi mengelakkan ia dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab. Gambar kecil: Hakim Hafizi.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu merevolusikan sistem pengujian lesen memandu secara menyeluruh bagi mengelakkan ia dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab.

Naib Pengerusi (Remaja) Gerakan Belia 4B Wilayah Persekutuan, Abdul Hakim Hafizi Hamizan berkata, sistem sedia ada terlalu rapuh dan mudah dimanipulasi, hingga membuka ruang kepada budaya rasuah.

Menurutnya, penggunaan teknologi kalis manipulasi perlu dilaksanakan segera selain mewujudkan audit bebas secara berkala dan menyahkuasakan individu tunggal dalam proses penilaian.

“Kelemahan utama terletak pada kelonggaran pengawasan dalaman, ruang manipulasi dalam sistem digital dan budaya kerja yang longgar terhadap integriti.

“Apabila individu boleh ‘lulus’ tanpa kelayakan sebenar, itu bukan saja kegagalan sistem, ia ancaman kepada keselamatan jalan raya.

“Sistem yang tidak telus dan mudah dipengaruhi membuka pintu kepada kerakusan dan salah guna kuasa,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Sebelum ini, pemilik sebuah agensi mencari calon pelajar bagi institusi latihan memandu bersama dua bekas keraninya didakwa di Mahkamah Sesyen di Johor Bahru atas tuduhan rasuah bagi meluluskan ujian berkomputer untuk mendapatkan lesen memandu.

Siti Norafidah Othman, 45 tahun, didakwa atas 53 tuduhan bersubahat menerima rasuah daripada dua keraninya ketika kejadian pada 2023 itu, Nuratika Natasha Mohd Salleh, 25 tahun, dan Nurieta Ahmad Pale, 36 tahun, yang masing-masing berdepan 29 dan 24 tuduhan menerima rasuah.

Dalam pada itu, Hakim Hafizi berkata, cabaran utama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ialah sindiket dalaman yang tersusun, kesukaran mengumpul bukti sahih dan budaya diam dalam kalangan kakitangan serta pelatih.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, menurut laporan SPRM pada 2023, lebih 60 peratus kes rasuah melibatkan penjawat awam berpunca daripada kelemahan pengawasan dalaman.

“Impaknya amat serius, pemandu tidak layak berada di jalan raya, meningkatkan risiko kemalangan maut.

“Data Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) 2022 menunjukkan 80 peratus kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu dan rasuah dalam sistem lesen menyumbang kepada statistik itu.

“Rasuah ini bukan soal wang semata-mata, tetapi soal nyawa yang dipertaruhkan akibat kelulusan palsu. Walaupun kecil skalanya seperti dalam ujian lesen memandu, tetap mencemari integriti sistem dan membahayakan keselamatan awam,” ujarnya.

Hakim Hafizi menegaskan bahawa sudah tiba masanya kerajaan meninggalkan pendekatan ‘siasat bila bocor’ dan mula bertindak sebelum sistem reput sepenuhnya.

Tambah beliau, kerajaan juga perlu serius melahirkan pemandu beretika dan memastikan keselamatan jalan raya dengan menghentikan budaya tutup mata terhadap rasuah.

“Jika lesen pun boleh ‘dibeli’, jangan terkejut bila nyawa jadi barang lelong di jalan raya.

“Hentikan budaya tutup mata dan bertindak tegas tanpa pilih kasih, kerana rasuah yang dibiarkan hari ini, adalah jenayah bersiri yang direstui esok hari,” tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!