Trak bergerak tidak patuh piawaian: Isyarat bahaya keselamatan awam

LAPORAN terkini menunjukkan hampir 90 peratus trak bergerak di Malaysia tidak mematuhi piawaian keselamatan kebakaran yang ditetapkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan awam.
Presiden Public Area and Fair Usage and Road Safety Association Malaysia (Pafur), Datuk Ab Halim Tuah Rahmat menyuarakan kebimbangan tersebut dengan mencadangkan agar lesen perniagaan bagi pengusaha yang gagal mematuhi piawaian berkenaan digantung atau dibatalkan.
Ketidakpatuhan terhadap piawaian berkenaan boleh menyebabkan risiko kebakaran, letupan dan kemalangan yang mengancam keselamatan pengusaha, pelanggan serta komuniti sekitar.
Justeru, PAFUR mencadangkan agar satu operasi penguatkuasaan bersepadu dilancarkan oleh agensi kerajaan termasuk JBPM, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).
Tindakan penguatkuasaan yang menyeluruh dilihat sebagai langkah perlu bagi menangani peningkatan jumlah trak yang beroperasi secara tidak selamat.
Dalam pada itu, kurangnya kesedaran dalam kalangan pengusaha berhubung keperluan keselamatan asas seperti sistem pemadam api, susun atur dalaman yang selamat, dan penyelenggaraan berkala juga dilihat sebagai faktor utama masalah.
Ini kerana sesetengah pengusaha dilihat lebih mementingkan keuntungan berbanding keselamatan, mengabaikan perlindungan terhadap nyawa dan harta benda pengguna.
Penglibatan PBT juga perlu ditingkatkan, memandangkan mereka bertanggungjawab dalam meluluskan permit dan memantau operasi trak bergerak di kawasan masing-masing yang mana setiap permohonan permit baharu seharusnya disertakan dengan laporan pemeriksaan keselamatan terkini, manakala pemantauan berkala wajib dijadikan prosedur standard.
Di samping penguatkuasaan, aspek pendidikan dan latihan kepada pengusaha trak bergerak turut perlu diberi perhatian antaranya kursus keselamatan, bengkel teknikal dan panduan visual yang boleh membantu meningkatkan kesedaran dan pemahaman tentang kepentingan pematuhan piawaian keselamatan.
Data daripada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menunjukkan bahawa hanya 32 peratus pengusaha kenderaan komersial dan pengangkutan awam mematuhi Kod Amalan Industri untuk Keselamatan Pengangkutan (ICOP). Statistik ini mencerminkan betapa rendahnya tahap pematuhan terhadap garis panduan keselamatan industri.
Dalam konteks antarabangsa, negara seperti Jepun dan Amerika Syarikat mempunyai protokol ketat terhadap operasi trak bergerak, pengusaha diwajibkan menjalani latihan keselamatan, audit teknikal berkala serta menggunakan peralatan yang diluluskan sahaja.
Malaysia disaran mencontohi pendekatan antarabangsa ini bagi meningkatkan tahap keselamatan dan menjaga imej industri, kerana pematuhan piawaian juga boleh menarik pelanggan serta memudahkan kelulusan operasi.
Akhirnya, pengguna juga memainkan peranan penting dalam memacu perubahan termasuklah sikap selektif dalam memilih trak yang selamat dan memberikan maklum balas kepada pihak berkuasa jika terdapat pelanggaran piawaian boleh memberi tekanan kepada pengusaha untuk lebih bertanggungjawab.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
