90 peratus trak bergerak tidak patuhi piawaian keselamatan – Pafur

Hampir 90 peratus perniagaan trak bergerak yang merangkumi sektor makanan, barangan dan perkhidmatan didapati tidak mematuhi piawaian keselamatan kebakaran ditetapkan oleh JBPM, sekali gus mengundang risiko kebakaran, letupan atau kemalangan. Foto hiasan 123RF
Hampir 90 peratus perniagaan trak bergerak yang merangkumi sektor makanan, barangan dan perkhidmatan didapati tidak mematuhi piawaian keselamatan kebakaran ditetapkan oleh JBPM, sekali gus mengundang risiko kebakaran, letupan atau kemalangan. Foto hiasan 123RF
A
A
A

SHAH ALAM – Hampir 90 peratus perniagaan trak bergerak yang merangkumi sektor makanan, barangan dan perkhidmatan didapati tidak mematuhi piawaian keselamatan kebakaran ditetapkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), sekali gus mengundang risiko kebakaran, letupan atau kemalangan.

Sehubungan itu, Presiden Public Area and Fair Usage and Road Safety Association Malaysia (Pafur), Datuk Ab Halim Tuah Rahmat menggesa tindakan tegas termasuk penggantungan atau pembatalan lesen perniagaan trak bergerak yang tidak selamat beroperasi dilaksanakan segera demi keselamatan awam.

“Kerajaan, khususnya JBPM, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu melancarkan operasi penguatkuasaan bersepadu untuk memeriksa semua trak, selain mengenakan denda berat terhadap mereka yang tidak mematuhi piawaian keselamatan.

“Walaupun Garis Panduan Pengurusan Trak Bergerak (2018) oleh KPKT dan prosedur kelulusan JPJ telah mewajibkan dokumen keselamatan daripada JBPM, namun majoriti PBT gagal menyaring permohonan lesen hingga membenarkan trak tidak selamat ini terus beroperasi,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, negara dikejutkan dengan nahas membabitkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan yang dilaporkan berpunca daripada kegagalan fungsi stereng sebuah lori membawa muatan batu kerikil.

Insiden tersebut meragut sembilan nyawa, termasuk lapan anggota FRU, manakala sembilan lagi anggota mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan lanjut.

Dalam perkembangan berkaitan, Ab Halim turut menyatakan bahawa pihaknya bersedia bekerjasama dengan semua agensi berkaitan bagi memastikan garis panduan perkhidmatan trak dipatuhi secara menyeluruh.

“Kami memohon agar langkah-langkah seperti denda dan penarikan lesen dilaksanakan serta-merta memandangkan garis panduan tersebut telah dikeluarkan sejak tahun 2018.

“Kami menegaskan bahawa setiap nyawa yang terancam akibat kelalaian ini merupakan tanggungjawab bersama pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

“Jika tragedi berlaku, ia bukan sahaja mengorbankan nyawa malah merosakkan imej kerajaan yang dilihat lambat bertindak,” tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!