Kajian profil psikologi, perangai pemandu awam wajar dilaksana – PSIMA

SHAH ALAM - Kajian menyeluruh terhadap profil psikologi dan perangai pemandu kenderaan awam wajar dilakukan bagi mengenal pasti ciri personaliti berisiko tinggi yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.
Presiden Terpilih Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA), Profesor Madya Dr Shazli Ezzat Ghazali berkata, kajian tempatan dan antarabangsa menunjukkan ciri-ciri personaliti tertentu, gangguan emosi serta penyalahgunaan bahan seperti alkohol boleh memberi kesan serius terhadap kemampuan seseorang mengendalikan kenderaan secara selamat.
Menurutnya, kajian oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menerusi Global Status Report on Road Safety menyatakan faktor psikologi menyumbang lebih 20 peratus terhadap punca kemalangan jalan raya secara global.
“PSIMA mengesyorkan agar pihak berwajib menjalankan saringan psikologi berkala terhadap pemandu kenderaan awam, terutama yang mengendalikan kenderaan berat atau melibatkan penumpang dalam jumlah besar.
“Antara ciri-ciri psikologi yang perlu diberi perhatian ialah impulsif (cenderung membuat keputusan terburu-buru di jalan raya), agresif (berisiko tinggi terlibat dalam pemanduan berbahaya atau ‘road rage’), kurang empati (tidak menunjukkan keprihatinan terhadap keselamatan pengguna jalan raya lain), masalah kawalan emosi (kemurungan atau kebimbangan melampau), dan penyalahgunaan bahan seperti alkohol atau dadah.
“PSIMA juga menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan manipulasi proses pemeriksaan kenderaan serta kelonggaran dalam pemantauan rutin, yang menambah risiko meskipun pemandu berada dalam keadaan baik secara mental,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata demikian susulan kemalangan tragis melibatkan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), kes langgar anak gajah, dan beberapa kes langgar lari yang lain.
Terdahulu, media melaporkan kejadian berlaku ketika trak dinaiki 18 anggota FRU Unit 5 berpangkalan di Sungai Senam, Ipoh bertembung dengan sebuah lori muatan batu kerikil yang memasuki laluan bertentangan.
Pelanggaran itu mengakibatkan lapan anggota FRU meninggal dunia di lokasi kejadian dan seorang lagi menghembuskan nafas terakhir di Hospital Teluk Intan, manakala sembilan lagi cedera dengan sebahagiannya parah.
Sementara itu, sebelum ini, seekor anak gajah jantan berusia kira-kira lima tahun mati selepas dilanggar sebuah lori di Kilometer 80, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik–Jeli.
Dalam pada itu, Shazli Ezzat berkata, PSIMA turut mencadangkan beberapa inisiatif bagi memastikan perkara tidak diingini di jalan raya dapat dielakkan, termasuk saringan psikologi mandatori, latihan pengurusan emosi, audit psikologi berkala, saringan kesihatan mental secara berkala dan penguatkuasaan lebih ketat terhadap pengambilan alkohol serta ubat-ubatan tertentu.
Tambah beliau yang juga pakar psikologi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), menangani aspek psikologi adalah sama pentingnya dengan penyelenggaraan teknikal dalam memastikan keselamatan jalan raya.
“Pemandu bukan sekadar mengendalikan kenderaan, tetapi juga membawa amanah terhadap nyawa manusia dan haiwan yang berkongsi jalan yang sama.
“Kami menyeru kerjasama semua pihak untuk menerapkan pendekatan psikologi dalam sistem pemilihan, pemantauan dan latihan pemandu.
“Sudah tiba masanya kita melihat punca kemalangan bukan hanya dari sudut mekanikal, tetapi juga dari dalam minda dan hati mereka yang berada di belakang stereng,” tegas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!