Beri kek percuma kepada 20 sekolah di Perak, Pulau Pinang dan Kedah sempena Hari Guru

PARIT BUNTAR - Sebuah kedai bakeri menghadiahkan kek seberat hampir 2 kilogram (kg) kepada 20 sekolah di Perak, Kedah dan Pulau Pinang sempena Hari Guru yang disambut pada Jumaat.
Pemilik Kobis Bunga Bakery, Mohamad Adri Adha Mohamad berkata, pemberian kek percuma kepada sekolah-sekolah itu telah dilakukannya sejak sembilan tahun lalu.
Menurutnya, cuma tahun ini agak istimewa kerana kek yang disumbangkan lebih banyak dan besar berbanding sebelum ini.
"Apa yang kami lakukan ini sebenarnya terlalu kecil jika dibandingkan dengan sumbangan guru-guru kepada masyarakat. Kami hanya berkongsi rezeki dengan semua.
"Ini cara kami untuk menghargai jasa dan pengorbanan para pendidik yang tak pernah kenal erti jemu mendidik anak-anak semua," katanya ketika kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Mohamad Adri Adha berkata, terdapat dua jenis kek disumbangan iaitu kek ais krim dan kek coklat yang dihasilkan di kedainya di pekan Parit Buntar.
Antara sekolah di Perak yang menerima kek tersebut ialah Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Al-Mujahideen, Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kerian, SK Parit Buntar, SK Tanjung Piandang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Rahman, SMK Bagan Serai dan SMK St George Taiping.
Di Pulau Pinang pula, sekolah yang menerima kek itu termasuklah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Transkerian dan SMK Sungai Nibong.
Di Kedah pula sekolah yang menerima pemberian kek tersebut ialah SK Relau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!