8,811 kes HFMD direkod di Pulau Pinang, ibu bapa diminta tingkat kawalan kebersihan

SEBERANG JAYA - Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang mengesahkan trend peningkatan kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di negeri itu sejak awal tahun ini, namun kadar peningkatan menunjukkan sedikit penurunan pada ketika ini.
Exco Kesihatan, Belia dan Sukan negeri, Daniel Gooi Zi Sen berkata, pelbagai langkah telah diambil bagi membendung penularan jangkitan tersebut termasuk mengaktifkan bilik gerakan khas HFMD seawal Januari lalu.
Menurutnya, sesi libat urus termasuk sesi town hall bersama pengusaha taman asuhan kanak-kanak (taska) dan tadika juga telah diadakan bagi meningkatkan kesedaran terhadap aspek kebersihan di premis yang melibatkan kanak-kanak, kumpulan paling terkesan oleh jangkitan HFMD.
"Walaupun kes masih menunjukkan peningkatan, namun kadar peningkatan tersebut telah berjaya diturunkan sedikit. Kita berharap keadaan ini akan terus terkawal dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita di sini, pada Sabtu.
Beliau ditemui selepas merasmikan Program ‘I Fit Eat Right’ (IFitER) Media Mutiara Sihat sempena sambutan ulang tahun ke-10 penubuhan Kelab Media Mutiara Pulau Pinang di Dewan Seminar Wellness Hub Seberang Perai Tengah, Klinik Kesihatan Seberang Jaya.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Dr Rozaini Mat Shah.
Dalam pada itu, Daniel mengingatkan ibu bapa agar terus berwaspada dan memberi perhatian khusus terhadap kebersihan anak-anak termasuk mainan dan peralatan yang sering digunakan mereka.
"Kita perlu pastikan sanitasi dilakukan secara menyeluruh terutama terhadap barang permainan anak-anak.
Sekiranya berlaku kes kluster, biasanya apabila ada dua kes di satu premis, kita akan isytihar sebagai kluster dan tutup premis tersebut sementara bagi tujuan pembersihan," jelasnya.
Tambah Daniel, ibu bapa dinasihatkan supaya tidak membawa anak-anak keluar berjalan atau bercuti sekiranya premis taska atau tadika ditutup kerana langkah itu bertujuan mengelakkan penyebaran wabak.
Beliau berkata, tempoh inkubasi HFMD juga perlu diberi perhatian kerana ada kemungkinan anak-anak sudah dijangkiti tetapi belum menunjukkan simptom. Justeru, pemantauan rapi sepanjang tempoh ini amat penting.
Beliau menyeru agar semua pihak, khususnya ibu bapa, dapat memainkan peranan lebih aktif dalam memastikan kebersihan anak-anak sentiasa terjaga sebagai usaha bersama menangani penularan HFMD.
Sebelum ini, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Datuk Dr Fazilah Shaik Allaudin berkata, pada minggu epidemiologi ke-19 tahun 2025, Pulau Pinang telah mencatatkan sebanyak 1,152 kes baharu HFMD.
Berbanding dengan minggu sebelumnya, ia menunjukkan peningkatan sebanyak 10 kes atau 0.9 peratus.
Beliau berkata, pada minggu yang sama, 24 kluster baharu HFMD telah dilaporkan.
"Semua kes yang dilaporkan menunjukkan gejala ringan dan diberikan rawatan pesakit luar. Tiada kes yang mengalami komplikasi teruk atau memerlukan rawatan intensif.
"Secara keseluruhan, jumlah kes HFMD di Pulau Pinang pada tahun 2025 setakat 10 Mei lalu adalah sebanyak 8,811 kes, berbanding hanya 1,135 kes pada tahun 2024 dalam tempoh yang sama, iaitu peningkatan sebanyak 7,676 kes (676.3 peratus)," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!