Rafizi jangan jadi api dalam sekam - AMK Pulau Pinang

GEORGE TOWN - Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang, Fadzli Roslan melahirkan kebimbangan terhadap pendekatan yang digunakan oleh calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dalam siri Jelajah Hiruk yang sedang berlangsung.
Menurut Fadzli yang juga calon Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (MPAMK), beberapa kandungan ucapan Rafizi dilihat tidak selari dengan semangat demokrasi dan berpotensi mencetuskan ketegangan dalam kalangan ahli parti."Beliau berulang kali mengkritik secara terbuka beberapa pimpinan utama parti termasuk calon Ketua AMK Malaysia, Kamil Munim.
"Saya berpandangan pendekatan sebegini tidak wajar dan boleh menjejaskan keharmonian parti, terutamanya dalam suasana pemilihan yang sepatutnya diraikan dengan semangat saling menghormati," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambah beliau, pendekatan yang ditonjolkan Rafizi bukanlah perkara baharu, malah beberapa nama pimpinan turut disebut secara langsung dalam siri jelajah berkenaan.
Sebaliknya, Fadzli memuji kematangan calon-calon lain dalam AMK yang menurutnya lebih menumpukan kepada perbahasan dasar, idea dan gagasan demi masa depan pergerakan itu.
"Sepanjang kempen berlangsung, saya tidak mendengar sebarang serangan peribadi atau tuduhan tidak berasas daripada mana-mana calon. Ini mencerminkan kematangan politik dan semangat perpaduan yang sedang mekar dalam kepimpinan muda parti," katanya.
Justeru, beliau menggesa agar Rafizi kembali kepada semangat kempen yang membina dan penuh etika serta mengangkat hujah yang bernas dan cadangan yang menyatukan.
Jelasnya, Rafizi perlu memberikan ruang kepada akar umbi untuk menilai calon berdasarkan visi dan sumbangan mereka, bukan dengan menyemai perpecahan.
Dalam masa sama, Fadzli turut mengiktiraf jasa dan sumbangan Rafizi dalam perjuangan parti, namun menegaskan bahawa kasih kepada parti menuntut semua pihak untuk menjaga kesatuan dan tidak menjadi api dalam sekam.
"Jangan sampai kita menjadi punca yang membakar rumah perjuangan yang telah dibina dengan penuh pengorbanan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!