Kaut keuntungan atas risiko nyawa orang lain

TRAGEDI ngeri yang mengorbankan sembilan anggota pasukan keselamatan dan mencederakan sembilan yang lain di Teluk Intan Isnin lalu bukan sekadar kemalangan biasa.
Ia adalah tragedi meruntun hati rakyat, lebih-lebih nyawa yang melayang adalah wira yang sedang menjalankan tugas untuk negara.
Namun dalam kesedihan ini, kita tidak boleh alpa terhadap punca sebenar – dan lebih penting, siapa yang sebenarnya bertanggungjawab.
Seperti yang lazim berlaku dalam insiden melibatkan kenderaan berat, pemandu lori akan menjadi pihak pertama yang dituding jari. Malah, tidak dinafikan bahawa pemandu perlu bertanggungjawab ke atas tindakannya ketika memandu.
Tetapi adakah itu sahaja? Bagaimana pula dengan pemilik syarikat lori? Ataupun pihak pengurusan yang sepatutnya memastikan setiap lori dalam keadaan selamat sebelum berada di jalan raya?
Ini bukan kali pertama kita mendengar tentang lori membawa muatan berat merempuh kenderaan lain dan mengorbankan nyawa.
Ini juga bukan kali pertama pemandu sahaja yang menjadi mangsa sedangkan mereka di atas – pemilik, pengurus, dan pengendali syarikat bebas daripada sebarang pertanggungjawaban.
Jika pemandu disiasat dan didakwa, pihak pengurusan syarikat juga mesti diheret ke muka pengadilan sekiranya terbukti mereka gagal menyelenggara kenderaan dengan baik, mengabaikan aspek keselamatan, atau memaksa pemandu mematuhi jadual kerja yang tidak munasabah.
Pihak berkuasa perlu memperketatkan kawalan dan pemantauan terhadap syarikat pengangkutan serta kenderaan berat.
Audit menyeluruh terhadap lori-lori pembinaan perlu dilaksanakan dengan tegas dan berkala. Bukan hanya ketika tragedi berlaku, tetapi sebagai sebahagian daripada usaha pencegahan.
Undang-undang juga perlu diperkuat agar pemilik syarikat tidak lagi boleh berlindung di sebalik lesen perniagaan.
Jika kecuaian mereka meragut nyawa, maka mereka juga perlu berdepan tindakan undang-undang yang setimpal – termasuk hukuman penjara.
Negara ini tidak boleh terus membiarkan syarikat kaya mengaut keuntungan atas risiko nyawa orang lain.
Sudah tiba masanya kita menuntut keadilan yang sebenar – bukan hanya untuk mangsa, tetapi untuk sistem yang lebih bertanggungjawab dan adil kepada semua.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!