77 tahun Nakbah Palestin: Luka yang belum sembuh

SHAH ALAM - Rakyat Malaysia yang cintakan keadilan mesti terus bersolidariti bersama perjuangan rakyat Palestin untuk pembebasan, keamanan dan hak kembali ke tanah air mereka.
Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, genap 77 tahun peristiwa Nakbah pada 15 Mei 1948, ia bukan sekadar sejarah tetapi menandakan luka kemanusiaan yang masih berdarah.
Menurutnya, peristiwa itu juga adalah permulaan, rakyat Palestin diusir dari tanah air mereka sendiri dan menyaksikan permulaan penderitaan yang berpanjangan hingga ke hari ini.
“Ia adalah pengusiran, penjajahan dan penafian hak asasi yang berterusan terhadap rakyat Palestin termasuk wanita dan anak kecil yang tidak bersalah.
“Mereka menjadi pelarian di bumi sendiri dan warisan penderitaan itu kini diwarisi oleh generasi baharu yang terus hidup dalam penindasan.
“Sebagai umat manusia, kita tidak boleh membisu. Sebagai umat Islam, kita tidak boleh lupa,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambah Mohamad, Amanah tidak akan berhenti menyuarakan sokongan, selagi rejim Zionis terus melakukan kezaliman.
“Selagi Masjid Al-Aqsa terus diancam dan hak rakyat Palestin terus dinafikan, kita akan terus berdiri bersama mereka,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

