Kerajaan British kena mohon maaf kepada rakyat Palestin

A
A
A

KUALA LUMPUR – Lebih 30 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan belia dan mahasiswa dari seluruh negara menuntut supaya kerajaan British memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Palestin.

Perkara itu terkandung dalam memorandum 'Ketidakadilan yang Berterusan di Palestin' yang dihantar oleh wakil NGO terbabit, Profesor Dr Mohd Nazari Ismail kepada Political Counsellor Suruhanjaya Tinggi British di Malaysia, Ruzina Hassan, bagi pihak kerajaan United Kingdom di ibu negara pada Jumaat.

Nazari menjelaskan, British mesti memohon maaf kerana memainkan peranan penting sebagai pembekal utama senjata kepada rejim Zionis Israel untuk melakukan kekejaman terhadap rakyat Palestin sejak lebih 77 tahun lalu.

Selain itu, mereka perlu bertanggungjawab secara moral dan politik terhadap dasar penjajahan yang dimulakan sejak era Mandat Palestin.

Beliau yang juga Pengerusi Boycott, Divestment, Sanctions (BDS) Malaysia berkata, peristiwa Nakbah bukan hanya sejarah, tetapi luka yang terus membarah.

Menurutnya, sejak Oktober 2023 sahaja, lebih 100,000 rakyat Palestin dipercayai terkorban akibat serangan kejam rejim Zionis, termasuk yang masih tertimbus di bawah runtuhan bangunan.

“Namun, dunia terus membisu, malah negara seperti Amerika Syarikat, Britain dan Jerman masih membekalkan senjata kepada Israel.

“Britain bukan sahaja tidak pernah memohon maaf atas Deklarasi Balfour, malah terus menyokong pembunuhan rakyat Palestin secara terang-terangan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada wakil Pesuruhjaya Tinggi British di Malaysia pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, ribuan peserta daripada pelbagai NGO, pertubuhan belia dan mahasiswa berhimpun secara aman di ibu negara bagi memperingati 77 tahun peristiwa Nakbah dan menyuarakan solidariti terhadap rakyat Palestin yang terus dizalimi.

Berikutan itu, Mohd Nazari berkata, mereka juga mendesak kerajaan British menamatkan segala bentuk kerjasama ketenteraan dan ekonomi dengan Israel.

“Mereka juga perlu mengakui peranan mereka dalam penjajahan Palestin serta menyokong sekatan antarabangsa terhadap rejim Zionis,” katanya.

Mohd Nazari berkata, mereka juga menyeru kerajaan dan rakyat Malaysia agar lebih tegas dalam memboikot syarikat yang didakwa terlibat menyokong rejim Zionis, termasuk syarikat gergasi teknologi yang beroperasi di negara ini.

“Kita kena beri amaran kepada Israel dan sekutunya bahawa jika mereka terus membantu kezaliman rejim Zionis, maka kerajaan Malaysia boleh menilai semula semua kontrak yang diberikan kepada syarikat terbabit,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!