46 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan terbaharu Israel di Gaza

Serangan semalaman Israel ke atas beberapa rumah dan khemah. Foto AFP
Serangan semalaman Israel ke atas beberapa rumah dan khemah. Foto AFP
A
A
A

ANKARA/ISTANBUL - Sekurang-kurangnya 46 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan semalaman Israel ke atas beberapa rumah dan khemah penduduk yang kehilangan tempat tinggal di Semenanjung Gaza, menurut sumber perubatan pada Khamis, lapor Anadolu Ajansı (AA).

Sumber perubatan itu berkata, beberapa siri serangan Israel sekitar waktu subuh ke atas rumah dan khemah di bandar Khan Younis, selatan Gaza telah mengorbankan 36 orang dan mencederakan lebih 60 yang lain, termasuk wanita dan kanak-kanak.

Pasukan perubatan turut mengeluarkan lima lagi mayat daripada runtuhan rumah yang diserang malam tadi ketika usaha menyelamat masih diteruskan untuk mencari mangsa yang terselamat.

Agensi berita rasmi Palestin, WAFA yang memetik sumber perubatan, melaporkan lima orang turut terbunuh dan beberapa yang lain cedera dalam serangan udara Israel ke atas sebuah rumah di bandar Jabalia, utara Gaza.

Sejak Oktober 2023, tentera Israel telah melancarkan serangan kejam ke atas Semenanjung Gaza, mengorbankan hampir 53,000 rakyat Palestin setakat ini, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!